BlogFeatured Articles

Rakyat Didahulukan

By Monday April 10th, 2017 No Comments

Setelah bersidang selama 20 hari, sesi Dewan Rakyat telah ditangguhkan pada minggu lepas.

Selama 20 hari itu, banyak perkara telah dibahaskan dan sejumlah 13 Rang Undang-Undang telah dibentangkan dan menerima kelulusan daripada Yang Berhormat sekalian.

Antaranya, ada tiga Rang Undang-Undang yang amat penting dan dekat di hati saya, apa yang saya sifatkan sebagai “Rakyat Didahulukan”.

Pertama, Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang akan dikuatkuasakan bagi memerangi jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Saya berasa sedih bercampur marah apabila membaca statistik bahawa lebih 12 ribu kes penderaan seksual kanak-kanak telah dilaporkan.

Kini, mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dan akan dikenakan hukuman berat, berdasarkan jenis kesalahan yang disabit. Ada yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Hasrat kerajaan jelas, iaitu kita mahu melindungi anak-anak kita daripada sampah masyarakat yang melakukan perbuatan terkutuk ini dan mahu mencegah perbuatan sebegini.

Namun demikian, saya tidak mahu kita hanya fokus kepada hukuman, tetapi kita juga perlu mendidik masyarakat terutamanya anak-anak kita agar mereka tahu teknik pencegahan dan menjaga keselamatan diri, hak mereka dari segi undang-undang, perlindungan yang diberikan, bantuan yang disediakan dan sebagainya. Inisiatif ini akan diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kedua pula, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 di mana kerajaan telah menjadikan hukuman penjara serta hukuman sebat sebagai hukuman mandatori bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dan jenayah seksual seperti rogol, sumbang mahram, kesalahan merangsang kanak-kanak dan sebagainya.

Pindaan ini lebih meluas dan merangkumi kesalahan seksual terhadap masyarakat secara umum, bukan sahaja kanak-kanak.

Tidak ada ruang kompromi atau belas kasihan terhadap pesalah laku. Kita akan melindungi mangsa keganasan domestik, kanak-kanak serta anggota-anggota keluarga daripada pemangsa.

Ketiga dan yang terakhir sekali, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 yang telah diluluskan pula akan memberi peluang kedua kepada individu yang pernah diisytiharkan bankrap.

Kerajaan memperjuangkan bukan sahaja nasib dan kebajikan individu yang telah diisytihar muflis kerana hukuman dahulu seolah-olah mereka dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dari segi kewangan dan ekonomi, malah juga telah mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh penjamin yang teraniaya akibat menanggung beban orang yang berhutang.

Dengan pindaan baru ini serta perlindungan tambahan, individu yang muflis dan penjamin akan dapat memulakan bukan sahaja kehidupan baru, malah kehidupan yang lebih baik lagi.

Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan syabas kepada semua wakil rakyat Barisan Nasional kerana mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat. Teruskan usaha!

Alhamdulillah, sesi Parlimen ini amat produktif dan bermakna. Saya ucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembentangan dan kelulusan Rang Undang-undang di atas, daripada pegawai Kerajaan sehinggalah rakan-rakan saya Yang Berhormat sekalian. Rakyat didahulukan!

Leave a Reply