News_archive

Raja Arab Saudi Puas Hati Dengan Hubungan Dua Hala, Kata Najib

By Sunday January 16th, 2011 No Comments

KUCHING, 16 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud amat berpuas hati dengan hubungan dua hala di antara Malaysia dan negaranya.

Perdana Menteri berkata dalam perbualannya melalui telefon dengan Raja Abdullah, baginda juga memuji jemaah haji dari Malaysia yang dianggap sangat tertib dan menghormati undang-undang Arab Saudi.

Beliau berkata baginda turut menyentuh tentang kepimpinan Malaysia dan mengiktiraf perkembangan yang berlaku di Malaysia sebagai sesuatu yang positif.

“Di samping itu saya melahirkan harapan dunia Islam terhadap kepimpinan Raja Abdullah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan konvensyen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertemakan “Berjuang Untuk Rakyat” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini Ahad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan agensi berita Arab Saudi, Saudi Press Agency semalam bahawa keprihatinan Najib yang membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar mengenai kesihatan raja berusia 86 tahun itu telah diberikan liputan meluas oleh media di Arab Saudi.

Najib berkata beliau membuat panggilan telefon tersebut setelah mengetahui baginda di rawat di sebuah hospital di New York, Amerika Syarikat selepas menjalani pembedahan.

“Saya menyampaikan doa dan harapan semoga akan sembuh dan kembali menjalankan tugas di Arab saudi,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply