News_archive

Pusat Pembidaan Ternakan Haiwan Di RTC Kelantan Dapat Sambutan Menggalakkan

By Saturday May 5th, 2012 No Comments

KOTA BAHARU, 5 Mei (Bernama) — Pusat Pembidaan Ternakan Haiwan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan yang mula beroperasi di sini semalam, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin membeli haiwan secara lelongan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan Datuk Dr Mohd Zairi Serlan berkata pada hari pertama semalam, seramai 15 pembida mendaftar untuk membeli ternakan lembu dan biri-biri secara lelongan di pusat itu.

Beliau berkata jabatannya sedang berusaha mendapatkan ternakan daripada penternak dari seluruh negara bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Kita juga sedang berunding dengan pihak pengurusan RTC supaya salah satu kawasan di sini, dijadikan tapak kekal pusat pembidaan ternakan ruminan hidup terbesar di kawasan pantai timur Semenanjung,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

RTC Kelantan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Dr Mohd Zairi berkata cadangan mengenai tapak kekal itu pernah dibincangkan di peringkat pengurusan RTC yang sebelum ini dikenali Terminal Agrobisnes Negara (Teman).

“Untuk jangka panjang, kita akan menawarkan pembidaan ternakan di peringkat awal untuk pembiakan,” katanya.

Beliau berkata ternakan seperti lembu yang dirampas agensi penguatkuasa atas kesalahan haiwan itu diseludup, juga akan dilelong di pusat tersebut.

Jabatannya akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang bertugas di kawasan sempadan seperti Unit Pencegah Penyeludupan, polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan tentera, katanya.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan jabatannya mendapat bekalan ternakan untuk dilelong di pusat itu.

“Ia juga dapat memberi peluang lebih luas kepada pembida luar membeli ternakan itu (haiwan seludup) secara terbuka dan telus mengikut kadar harga ditetapkan jawatankuasa penilai,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply