News_archive

Prospek perdagangan global tidak terhad

By Sunday June 19th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA 19 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru negara-negara Afrika supaya melihat ke arah negara ekonomi baharu seperti Malaysia bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan yang diperlukan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana prospek dalam bidang perdagangan dan perniagaan global masa kini tidak hanya terhad kepada negara ekonomi maju sahaja.

”Dalam konteks ini, saya yakin bahawa syarikat kecil dan sederhana (SME) Malaysia mampu menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti yang diperlukan.

”Saya juga ingin melangkah setapak ke hadapan dan mencadangkan kemungkinan kerjasama antara SME tempatan untuk mengenal pasti, menetapkan dan menghasilkan barang-barang yang diperlukan.

”Ini boleh menjadi contoh kepada kerjasama perkongsian bestari pada masa depan,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID 2011) di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, prospek perdagangan antara Malaysia dan negara-negara Afrika ketika ini tiada batasnya, lebih-lebih lagi selepas LID ditubuhkan pada 1995.

Ini kerana, kata beliau, pada tahun lepas nilai dagang antara kedua-dua pihak itu naik 39 peratus kepada RM25 bilion berbanding 2009, sekali gus dapat meningkatkan lagi kemungkinan benua Afrika mengalami era ‘kebangkitan ekonomi’.

”Antara 2001 dan 2010, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benua itu berada pada purata 5.2 peratus setiap tahun – kadar pertumbuhan yang juga dijangka dapat dicapai tahun ini sekali gus melepasi purata global KDNK 4.2 peratus,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply