News_archive

Program turun padang, tinjauan mesra seluruh negara amat berharga

By Friday May 11th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan program turun padang dan tinjauan mesranya di seluruh negara amat berharga bagi membolehkan beliau memahami pelbagai masalah rakyat.

Kisah sedih bekas pemandu teksi yang dibuang anak antara pengalaman menyentuh perasaan Perdana Menteri.

Katanya, bekas pemandu teksi yang ditemuinya ketika tinjauan mesra terpaksa menyerahkan rumah dibeli hasil duit simpanan kepada anaknya, dan pada masa sama bantuan RM300 sebulan diberi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditarik balik.

“Anak dia mengambil tindakan untuk tendang dia keluar dari rumah.. awalnya warga tua ini menerima bantuan RM300 sebulan tetapi berdasarkan prinsip anak sudah bekerja, dia didapati tidak layak.

“Tetapi apabila saya mendengar ceritanya, walaupun atas kertas anaknya bekerja dan sepatutnya membantu bapa mereka (sebaliknya) anak bertindak zalim… kita patut buat tinjauan lebih mendalam sama ada anak itu membantu atau tidak ibu bapa mereka.

“Apabila saya balik ke kementerian sebab saya memangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat saya bawa kes ini kepada pegawai di kementerian, saya kata sekarang kita jangan potong namanya dulu, kita semak, kalau betul anak dia bantu ibu bapa itu tidak mengapa… kalau abaikan atau tidak peduli kita kena timbang bantuan,” katanya ketika ditemubual deejay SINAR Pagi, Khairil Rashid, Salih Yaacob dan Raja Azura di sini, semalam.

Pengalaman yang dikongsi bersama pendengar stesen radio ‘Muzik Retro Terbaik’ itu antara pengalaman yang menyentuh perasaan pemimpin nombor satu negara ketika menemui sekumpulan warga emas sambil menikmati teh tarik di Sandakan, Sabah, awal bulan lalu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu jabatan dan agensi kerajaan membuat semakan terperinci menerusi tinjauan sebelum keputusan diambil terutama yang membabitkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, keputusan tidak seharusnya berpaksikan kepada maklumat atau data di atas kertas, tetapi realiti.

“Pengalaman saya dalam tinjauan mesra sangat bermakna sebab saya dapat melihat keadaan sebenar… apabila bersama dengan orang, mereka nampak sangat gembira, suka sangat menerima kedatangan pemimpin yang mereka tidak terfikir kita boleh masuk ke gerai, pasar dan boleh sembang dengan mereka,” katanya menjawab soalan pemanggil.

Menjawab soalan pemanggil dari Johor Bahru mengenai sebab Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Berhad disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan manfaat yang diterima warga FELDA, Perdana Menteri menjelaskan tindakan itu berupaya menjana kekayaan secara lonjakan berganda.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply