News_archive

Program Tranformasi Kerajaan Untuk Bela Nasib Rakyat – Fadillah

By Friday January 27th, 2012 No Comments

KUCHING, 28 Jan (Bernama) — Program tranformasi yang dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah semata-mata untuk membela nasib rakyat, kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.

Beliau berkata pelbagai pelan tranformasi dilaksanakan oleh kerajaan seperti tranformasi politik, ekonomi dan sosial dibuat untuk meletakkan rakyat pada kedudukan lebih baik setaraf status negara maju menjelang tahun 2020.

“Sejak Datuk Seri Najib memegang tampuk kepimpinan negara, pelbagai usaha dan pelan tranformasi telah beliau buat untuk rakyat termasuk klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, bantuan persekolahan RM100, baucer RM200 untuk pelajar pengajian tinggi dan hari ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, semuanya untuk memudahkan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan BR1M untuk kawasan Parlimen Petra Jaya di sini, hari ini.

Fadillah berkata kerajaan BN amat memahami kehendak serta keperluan rakyat dan oleh sebab itulah pelbagai usaha dan perancangan sentiasa dibuat untuk membela nasib rakyat khasnya yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau untuk menjayakan segala perancangan serta pelan tranformasi yang telah dirancang, sokongan rakyat amat diperlukan dari semasa ke semasa dan sebarang masalah seharusnya dibincangkan dengan cara yang baik antara pemimpin dan rakyat.

Sementara itu, Fadillah berkata 11,000 permohonan bantuan BR1M diluluskan untuk kawasan Parlimen Petra Jaya setakat ini dan daripada jumlah itu, 3,000 orang akan menerimanya dalam fasa pertama.

Beliau berkata permohonan untuk BR1M masih lagi dibuka sehingga 10 Februari depan dan pemberian wang bantuan tersebut dijangka berakhir April depan.

Salah seorang penerima BR1M iaitu Puan Malaysia Yap, 48, berkata dengan bantuan itu sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan sedikit perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain untuk membeli keperluan dapur.

Sumber : Bernama

Leave a Reply