Program Subsidi Upah (PSU) kerajaan di mana kerajaan PN membayar RM600 hinga…

By Friday November 6th, 2020 No Comments

Program Subsidi Upah (PSU) kerajaan di mana kerajaan PN membayar RM600 hinga RM1,200 sebulan untuk setiap pekerja yang bergaji bergaji RM4,000 dan ke bawah untuk tempoh 3 hingga 6 bulan.

Skim PSU ini adalah untuk majikan yang mengalami kadar penurunan sekurang-kurangnya 30% atau lebih bagi nilai jualan atau pendapatan tahun semasa berbanding dengan tahun sebelumnya.

Syaratnya ialah majikan tidak boleh membuang pekerja sepanjang masa mereka menerima manfaat dari skim tersebut.

Saya tak membantah sebab banyak negara lain juga mewujudkan skim seperti ini untuk melawan Covid dan skim PSU ini juga antara program utama kerajaan PN dengan jumlah peruntukkan RM16 bilion.

Namun, kebimbangan saya ialah syarikat-syarikat yang mengalami penurunan penjualan 30% dan ke atas adalah berpunca daripada permintaan yang lemah.

Maksudnya business sudah slow dan ini bermakna pekerja tak cukup kerja atau majikan sebenarnya tidak memerlukan begitu ramai pekerja berbanding sebelum krisis Covid bermula.

Ramai pekerja akan kurang produktif walaupun mereka tetap menerima gaji. Ada juga yang disuruh tidak bekerja sebab mereka tidak diperlukan walaupun pekerja tetap dibayar gaji bulanan.

Saya juga bimbang bahawa sektor-sektor tertentu seperti industri pelancongan, penghotelan dan penerbangan akan memerlukan tempoh yang jauh lebih lama sebelum memulih.

Ada yang meramal sektor-sektor ini memerlukan tempoh sehingga 4 tahun sebelum memulih.

Maka tempoh PSU selama 3 hingga 6 bulan tidak mungkin cukup bagi mereka.

Apakah yang akan berlaku kepada mereka setelah tempoh skim PSU berakhir?

Dan adakah kerajaan akan lanjutkan PSU ini untuk 4 tahun lagi supaya majikan terus membayar gaji pekerja yang tidak diperlukan?

Mereka akan terpaksa buang pekerja juga akhirnya sebab bisness mereka memang tidak perlu begitu ramai pekerja.

Saya tengok krisis Covid ini juga merupakan satu peluang untuk mengstruktur semula dan meningkatkan daya saing negara.

Ini juga peluang untuk kita melabur dalam kemahiran dan produktiviti tenaga kerja negara supaya negara lebih bersedia untuk masa depan.

Sebab itu, saya cadang syarikat dan pekerja yang memohon skim PSU ini diberi PILIHAN untuk memilih skim latihan jangkamasa sederhana ala PTPTN untuk menaikkan kemahiran atau menukar kemahiran mereka.

Kita beri peluang kepada pekerja untuk upskill dan re-skill.

Skim ini boleh dibiayai melalui pinjaman bank atau kerajaan pada kadar faedah rendah dan juga subsidi dari tabung HRDF di bawah PERKESO.

Mereka yang memilih skim latihan ini akan dibayar kos sara hidup bagi mereka dan keluarga mereka sepanjang masa kursus latihan mereka sebagaimana pelajar universiti menerima manfaat di bawah skim PTPTN.

Pemandu pelancong yang tiada kerja boleh menerima kursus bahasa asing supaya mereka lebih bernilai selepas industri pelancongan memulih.

Staf hotel boleh mengambil kursus soft-skill untuk menaik taraf servis mereka.

Staf sales akan dilatih dalam bidang strategic selling atau penjualan antarabangsa agar mereka lebih mantap membuat sales pada masa hadapan.

Dan ada juga yang akan menggunakan peluang ini untuk menuntut kemahiran yang membolehkan mereka tukar karier mereka ke sektor yang sedang pesat membangun ketika krisis Covid ini – misalnya ke industri IT, app dan online sales.

Mereka yang paling cemerlang dalam kursus-kursus seperti ini juga boleh diberi ganjaran oleh kerajaan melalui peruntukan baru atau dari tabung HRDF di mana pinjaman mereka boleh dikecualikan sebagaimana PTPTN memaafkan pinjaman bagi pelajar universiti yang berjaya mendapat ijazah kelas pertama.

Pada pendapat saya, skim ini lebih baik bagi masa depan negara berbanding berterusan membayar subsidi untuk membayar gaji pekerja yang memang tidak diperlukan sebab sektor-sektor tertentu tidak akan memulih dalam jangka masa pendek.

Saya akan membawa cadangan ini ke parlimen minggu depan.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157470887940952/

Leave a Reply