News_archive

Program ' One Malaysia ' Manfaat Rakyat

By Thursday April 2nd, 2009 No Comments

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantapkan pelaksanaan program yang memberikan peluang sama rata kepada rakyat khususnya dari segi peruntukan dan bantuan selaras dengan falsafah ‘One Malaysia’ yang diperkenalkan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, falsafah itu akan diterjemahkan kepada dasar khusus dan program yang memastikan pembahagian lebih adil dari segi bantuan kerajaan dan peruntukan kepada masyarakat.

“Kita akan mengkaji pelbagai masalah yang dihadapi dan ia sepatutnya adil dalam program yang akan dilaksanakan. Dengan falsafah ‘One Malaysia’, kita akan terjemahkan kepada dasar khusus dan peruntukan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan berjumlah RM80 juta di bawah pakej rangsangan ekonomi kepada 374 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bantuan Kerajaan di seluruh negara di sini, semalam.

Najib berkata, bantuan kepada SJKT itu adalah antara contoh dimaksudkannya yang berupaya memacu kepada pengagihan bantuan lebih adil kepada seluruh masyarakat.

Mengenai kemungkinan bantuan itu dikaitkan dengan tiga pilihan raya kecil di Kedah, Perak dan Sarawak, Najib berkata, apa juga yang dilakukan kerajaan sering dipersoalkan.

“Ini pemberian bantuan yang sebenar… pengumuman mengenai bantuan ini sudah dilakukan sebelum pilihan raya kecil itu lagi,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang akan bekerjasama dengan pemimpin tempatan untuk meningkatkan taraf SJKT di kawasan masing-masing.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan DUN Batang Air, Najib berkata, peluangnya baik tetapi semua jentera perlu bekerja kuat.

“Kita akan lakukan yang terbaik dan kita mempunyai peluang baik (untuk menang). Mereka boleh berkata apa saja tetapi yang penting ialah rakyat perlu berasakan kerajaan mengambil berat mengenai mereka. Ini adalah kerajaan yang mahu bekerja untuk rakyat,” katanya.

Najib juga menggariskan dua sikap penting yang perlu ada bagi membentuk perpaduan nasional mengikut falsafah terbabit iaitu saling menghormati dan yakin antara satu sama lain.

“Ini dua ciri amat penting dalam kita menghayati konsep perpaduan nasional iaitu bermula dengan sikap saling menghormati. Apabila kita membentuk sikap itu, bermakna kita sudah mengambil sikap terbuka dalam kepelbagaian dan saling meyakini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pembentukan sikap itu tidak boleh dilakukan dalam masa singkat sebaliknya perlu dipupuk secara berterusan dan secara sedar.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata konsep One Malaysia akan dapat mewujudkan rasa bersama antara pelbagai etnik dan komuniti di negara ini.

“Apabila kita rasa ada satu ikatan, ia akan membina Malaysia yang lebih padu, kuat dan berjaya. Konsep itu akan diterjemahkan dalam pelbagai program termasuk pendidikan dan membasmi kemiskinan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply