News_archive

Program Menu Rakyat Dapat Sambutan Amat Menggalakkan

By Tuesday January 24th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Hanya selepas hampir lima bulan program ‘Menu Rakyat 1Malaysia’ (MR1M) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai lepas, program itu kini semakin menampakkan kejayaan.

Usaha yang bertujuan membantu rakyat mendapatkan makanan dengan harga berpatutan ini berjaya menarik penglibatan 1,254 pengusaha kedai makan sehingga 12 Jan 2012, demikian menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Program yang menawarkan pakej makanan dengan harga berpatutan bagi sarapan dan makan tengah hari ini adalah program sukarela dan semua peniaga dan pemilik restoran boleh menyertainya,” kata beliau.

Menurut Ismail Sabri, harga yang ditawarkan di restoran terlibat dengan program MR1M ini sangat berpatutan.

Contohnya, harga paling tinggi menu untuk sarapan pagi bagi restoran di Semenanjung adalah RM2.00 dan makan tengah hari pula hanya RM4.00.

Manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, harga maksimum ialah RM2.50 (sarapan pagi) dan RM5.00 (makan tengah hari).

PEMANTAUAN

Pengunjung tidak perlu risau berhubung kenaikan harga untuk Menu Rakyat ini kerana pemantauan dilaksanakan setiap minggu oleh Pejabat Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga dan pemilik premis makanan patuh dengan harga yang ditetapkan.

Mana-mana pemilik yang tidak mematuhi harga ditetapkan akan dikeluarkan daripada program ini. Langkah ini adalah untuk memastikan garis panduan itu diikuti dan rakyat mendapat hak yang sebenarnya, jelas Ismail Sabri.

Menurut beliau, walaupun harga makanan yang ditetapkan murah, kualitinya tetap diberi keutamaan.

Dari segi kebersihan pula, KPDNKK bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan memantau tahap kebersihan premis makanan yang menyertai program ini.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Menurut Ismail Sabri, setakat ini program MR1M menerima sambutan yang menggalakkan.

“Pada awal pelancarannya hanya 611 premis yang terlibat tetapi bertambah kepada 1,254 buah premis sehingga 12 Jan lepas,” kata beliau.

Jumlah itu dijangka bertambah dan pihak kementerian akan memastikan hak pengguna akan terpelihara dengan harga yang ditetapkan.

“Dengan harga yang ditawarkan, kita dapat melihat pola keperluan dan permintaan rakyat kerana harga itu mempengaruhi kuasa pengguna untuk membuat keputusan sama ada memilih premis makanan berkenaan atau tidak,” kata Ismail Sabri.

PERUBAHAN MENU

Perubahan menu dibenarkan dalam program ini dan peserta MR1M hendaklah memaklumkan kepada KPDNKK Negeri atau Bahagian Pembangunan Perniagaan (BPP), KPDNKK Putrajaya mengenai sebarang penambahan atau pindaan menu dan maklumat lain tiga hari sebelum ia dilaksanakan.

Beliau juga berkata, KPDNKK telah menyediakan kain rentang dan poster untuk setiap premis dan kedai yang menyertai program ini dalam usaha memperkenalkannya kepada semua rakyat di setiap negeri.

Setiap peserta MR1M hendaklah mempamerkan kain rentang dan poster ini selain senarai menu yang ditawarkan di premis perniagaan masing-masing.

Hebahan di media elektronik dan cetak juga dilakukan.

Portal 1Malaysia Pengguna Bijak juga menyediakan senarai premis yang terlibat untuk program ini bagi memudahkan rakyat mengenal pasti lokasi dan harga yang ditawarkan.

“Setiap peserta MR1M ini akan diberikan sijil pengiktirafan dan nama mereka dihebahkan melalui akhbar dan sebagainya. Ia akan dipromosikan secara berterusan pada masa akan datang,” katanya.

PERMOHONAN

Setiap pengusaha restoran dan kedai makan digalakkan menyertai program ini kerana ia bukan sahaja membantu rakyat malah membantu memajukan perniagaan mereka.

Bagi pemilik kedai makan dan restoran yang berminat, permohonan bolehlah dibuat melalui Pejabat Negeri KPDNKK atau BPP di KPDNKK Putrajaya.

Menurut Ismail Sabri, KPDNKK akan memantapkan lagi program ini dengan menambah promosi melalui media cetak untuk memberi pengetahuan kepada pengguna terutama di kawasan luar bandar berhubung kewujudan program ini.

Kementerian sedang berusaha memperbanyakkan penyertaan program ini di kafeteria-kafeteria di premis agensi kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kata beliau.

“Sehingga kini, 28 IPT dengan 41 buah kafeteria telah menjayakan program ini manakala 10 IPT dengan 34 buah kafeteria bersetuju dan dalam proses melaksanakan program ini,” tambah beliau.

Penerangan juga akan diperbanyakan kepada pengusaha premis kedai makanan terutama di kalangan bukan Melayu untuk menarik minat mereka menyertai program ini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply