News_archive

Program MBMB Dan 3M Akan Diperluas Kepada Pensyarah Muda

By Sunday April 3rd, 2011 No Comments

TEMERLOH, 3 April (Bernama) — Program Mari Berjumpa Mari Berhubung (MBMB) dan Menyelam Minda Muda (3M) inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diperluaskan kepada pensyarah muda di pusat pengajian tinggi seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, program yang diadakan pada siri pertama 13 April 2009 hingga 13 Mei 2009 lepas membabitkan 20 institusi pengajian tinggi awam, empat buah institusi pengajian tinggi swasta, dua kolej komuniti dan tiga politeknik.

Beliau berkata kedua-dua program itu membabitkan dialog, isu prospek kerjaya, bantuan dan dana pendidikan, hak kebebasan mahasiswa berpolitik dan kebajikan mahasiswa di dalam kampus.

“Program siri kedua yang akan dilaksanakan itu akan mempelbagaikan kaedah bersama pensyarah muda, mahasiswa dan ia tidak terhad kepada dialog tetapi membabitkan penggunaan media sosial seperti twitter, facebook dan laman web,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengurusan Organisasi Persatuan Belia Kawasan Parlimen Temerloh di sini Ahad.

Beliau berkata penglibatan para pensyarah muda di dalam program itu bertujuan supaya isu-isu membabitkan mereka mendapat perhatian dan tindakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Saifuddin berkata, selain itu pensyarah muda dan mahasiswa mendapat penjelasan mengenai dasar-dasar KPT dan kerajaan serta cadangan dari pensyarah muda dan mahasiswa itu dapat diutarakan kepada pihak berkuasa untuk kebaikan negara.

Beliau berkata KPT bersedia memberikan peruntukan kepada mahasiswa yang berminat menjalankan program MBMB dan 3M berkenaan.

“Mahasiswa disarankan supaya melaporkan sebarang aktiviti kampus kepada pihak berkuasa sama ada melalui laman web atau terus kepada saya di www.saifuddinabdullah.com.my untuk tindakan yang patut diambil,” katanya.

Beliau berharap dengan penglibatan semua pihak terutamanya mahasiswa dan pensyarah muda, matlamat kerajaan menyelami minda golongan muda dan usaha mengatasinya akan tercapai.

Sumber : Bernama

Leave a Reply