Princess Shima menulis: “assalam dato’ : saya ingin bertanya macam mana nak…

By Tuesday March 27th, 2012 No Comments

Princess Shima menulis: “assalam dato’ : saya ingin bertanya macam mana nak mohon bantuan perumahan PPRT…?”

Salam @Princess Shima, adakah saudari ingin bertanyakan tentang bantuan perumahan di kawasan bandar atau pun di luar bandar?

Ini kerana bagi kawasan bandar, bantuan perumahan dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan berada di bawah kelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Bagi kawasan luar bandar pula, ia dikenali sebagai Program Bantuan Rumah (PBR) dan berada di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Terdapat dua jenis PPR yang dilaksanakan oleh KPKT iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki (Dijual). Bagi PPR Disewa, kadar sewa yang ditetapkan adalah RM124 sebulan, sementara bagi PPR Dimiliki, harga jualan adalah RM30,000 hingga RM35,000 seunit.

Permohonan boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) di unit Perumahan Pejabat SUK Negeri di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, DBKL, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Perumahan Melaka, Housing Development Corporation (HDC) Sarawak dan di Sabah adalah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
i) Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas
ii) Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM2500 sebulan
iii) Belum memiliki rumah kos rendah
iv) Memohon melalui Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT)

Pemilihan adalah berdasarkan pendaftaran melalui SPT dan senarai setinggan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri. Untuk memohon PBR, saudari perlu mengisi borang yang boleh didapati daripada laman web KKLW (www.rurallink.gov.my) ataupun daripada Pejabat Daerah/Agensi di bawah kementerian.

Semua permohonan PBR perlu dilampirkan bersama:
i) Kad pengenalan dan sijil kelahiran Ketua isi rumah dan seisi rumah;
ii) Gambar rumah pemohon (pelbagai sudut);
iii) Sijil nikah (bagi pemohon yang sudah berkahwin berumur kurang daripada 35 tahun);
iv) Borang kebenaran menggunakan tanah (bagi pemohon yang tidak mempunyai tanah dan menumpang di tanah milik orang lain / tanah Kerajaan untuk membina / membaik pulih rumah di tapak tersebut)

Permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada pejabat-pejabat daerah/ Focus Group daerah / Lembaga Kemajuan Wilayah untuk pertimbangan dan Pengesahan. Nama Pemohon akan didaftarkan dalam sistem e-Kasih. Permohonan bantuan PBR yang dikemukakan secara terus kepada KKLW juga akan dirujuk semula kepada pihak-pihak berkaitan di peringkat negeri/daerah berkenaan terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, pihak tuan boleh menghubungi Bahagian Kesejahteraan Rakyat KKLW di talian 03-8891 5654/ 5659.
– Admin



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10150625109980952/

Leave a Reply