News_archive

Presiden Sudan Jemput Najib Melawat Negara Afrika

By Saturday April 25th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) — Presiden Sudan Omar Hassan Al-Bashir telah menjemput Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melawat negara Afrika.

Jemputan itu disampaikan melalui wakil khas Bashir yang juga Menteri Tenaga dan Perlombongan Sudan Al-Zubair Ahmed Hassan apabila beliau bertemu Najib di Putrajaya baru-baru ini, kata Duta Besar Sudan ke Malaysia Nadir Yousif Eltayeb.

“Beliau (Najib) berjanji akan menimbangkan perkara itu,” Nadir memberitahu Bernama.

Dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melawat Sudan, negara terbesar di benua Afrika, semasa mereka memegang jawatan.

Nadir berkata Hassan juga menyerahkan mesej bertulis daripada Bashir kepada Najib bagi mengucapkan tahniah ke atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Mesej itu antara lain melahirkan harapan agar hubungan dua hala antara Sudan dan Malaysia akan mencapai kemuncaknya semasa Najib memegang jawatan, kata Nadir.

Malaysia merupakan rakan ekonomi kedua penting Sudan selepas China dan satu daripada pelabur utamanya. Petronas, syarikat minyak Malaysia merupakan pemain utama dalam pertumbuhan industri gas dan minyak Sudan.

Nadir berkata semasa pertemuan 45 minit itu, mereka juga membincangkan mengenai hubungan dua hala dan ekonomi di mana Hassan telah menjemput kerajaan Malaysia dan sektor swasta untuk melabur dalam sektor pembinaan, pertanian, industri, perlombongan dan minyak dan gas di negara yang berpenduduk 40 juta orang itu.

Katanya Hassan juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menjadi hos kepada 2,000 penuntut Sudan di kolej dan universiti di Malaysia.

Nadir berkata semasa pertemuan itu, Najib juga telah menyatakan bahawa hubungan Kuala Lumpur-Khartoum akan terus bertambah kukuh sama ada dalam bidang ekonomi dan politik untuk tahun-tahun akan datang.

Menteri Sudan itu juga berterima kasih kepada Petronas kerana melaksanakan usaha yang baik dalam memajukan ekonomi Sudan dan menyifatkan Petronas sebagai model kerjasama yang terbaik antara kedua buah negara, katanya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply