BlogFeatured Articles

PPR Bukit Nanas, Kuala Nerus

By Saturday April 15th, 2017 No Comments

Saya gembira dapat memulakan lawatan kerja saya ke Terengganu dengan menghadiri Majlis Perasmian Pecah Tanah PPR Bukit Nanas di Kuala Nerus dan Alhamdulillah, sambutan yang diberikan masyarakat tempatan sangat memberangsangkan. Sungguh ramai yang hadir, berkumpul untuk mendengar pelan perancangan kerajaan Barisan Nasional untuk mentransformasi hidup mereka.

Saya percaya projek pembinaan PPR Bukit Nanas yang mempunyai 500 unit ini akan mengubah lanskap hidup masyarakat Kuala Nerus. Mereka bakal memiliki kediaman yang baru, selesa dan pada harga mampu milik. Saya pasti, kualiti hidup masyarakat Kuala Nerus akan bertambah baik apabila unit-unit kediaman baru ini siap kelak.

Sesungguhnya, projek pembinaan PPR ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan nasib dan kebajikan golongan berpendapatan rendah terbela. Adalah tanggungjawab saya untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Oleh itu, selain membina rumah berkos rendah dan mampu milik, kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan terus memastikan mereka yang layak, berpeluang untuk memiliki rumah-rumah yang telah dibina melalui subsidi atau pinjaman kewangan dan sebagainya.

Sebagai contoh, bagi setiap unit PPR yang dibina, nilai subsidi yang disediakan kerajaan berjumlah antara RM115,000 hingga RM158,000 seunit bergantung kepada lokasi. Ini bermakna harga jualan kepada pembeli hanyalah di antara RM35,000 sehingga RM40,000. Seramai 500 bakal pemilik unit PPR Bukit Nanas akan turut menerima subsidi rumah ini.

Insya-Allah, tidak lama lagi rakyat Kuala Nerus akan menerima manfaat projek ini.

Saya juga telah mengambil kesempatan untuk berpesan rakyat Kuala Nerus agar memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional dan buatlah pilihan yang bijak dengan memilih kerajaan yang mampu membawa perubahan kepada hidup mereka.

Rekod pencapaian Kerajaan Barisan Nasional setakat ini cemerlang dan saya percaya kita telah buktikan kepada rakyat bahawa kita “deliver” dan bukan sekadar fitnah dan cakap kosong sahaja.

Dalam konteks perumahan untuk kumpulan berpendapatan rendah, banyak unit telah siap dibina, antaranya 1Razak Mansion dan Residensi Kerinchi di Kuala Lumpur.

Tanggungjawab kita kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat akan terus dipikul, dan saya beri jaminan bahawa banyak lagi projek perumahan untuk rakyat akan dibina, Insya-Allah.

Leave a Reply