Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
PPR Ampar Tenang, Dengkil - Najib Razak
BlogFeatured Articles

PPR Ampar Tenang, Dengkil

By Wednesday August 16th, 2017 No Comments

Memiliki rumah yang selesa untuk diduduki bersama keluarga menjadi impian setiap rakyat. Atas faktor harga pasaran perumahan yang tinggi, ketidakmampuan untuk membuat pinjaman bank dan kekangan-kekangan lain, tidak semua orang mampu memilikinya. Oleh itu, selepas saya berjumpa dengan rakan-rakan PR1MA, saya telah ke Dengkil untuk merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang yang bakal memanfaatkan golongan yang berpendapatan rendah. Saya percaya kewujudan pelbagai program dan projek perumahan mampu milik membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk memudahkan rakyat memiliki rumah mengikut kemampuan.

Dalam pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016 di Dewan Rakyat, saya telah menyatakan hasrat supaya “Dalam kita menuju status negara maju, konsep yang penting adalah public happiness. Berkait bukan hanya tentang pendapatan semata-mata, tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman dari jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna-warni.”

Selaras dengan itu, telah digariskan dalam Bajet 2017 agar Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membina 9,850 unit baharu di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan menyiapkan 11,250 unit rumah PPR serta membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda pada kadar lebih rendah dari kadar pasaran, membaik pulih fasiliti kawasan flat & Program Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia dengan peruntukan RM300 juta. Usaha tersebut merupakan touch point yang menjadi matlamat Kerajaan untuk menjamin perpaduan dan pertumbuhan ekonomi, menghemah perbelanjaan inklusif dan mensejahtera kehidupan rakyat keseluruhan.

Namun demikian, Kerajaan sedar bahawa akses kepada rumah mampu milik masih menjadi satu cabaran di kalangan komuniti India. Walaupun masalah ini dihadapi oleh semua kumpulan etnik tetapi terdapat kadar pemilikan rumah yang tidak seimbang dalam kalangan masyarakat India di Malaysia. Hanya 56% sahaja daripada isi rumah masyarakat India yang memiliki tempat tinggal berbanding 62% isi rumah kaum Bumiputera dan 61% isi rumah kaum Cina.

Selain perumahan kos rendah atau mampu milik, masalah berkaitan komuniti masyarakat India adalah penempatan semula bekas pekerja estet. Pembangunan semula kawasan estet kepada kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian telah memaksa ratusan ribu pekerja estet yang diberhentikan dan berhijrah ke kawasan bandar dan penempatan-penempatan sementara. Ramai yang telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk menghadapi peralihan ini sehingga menyebabkan nisbah strata kemiskinan bandar masyarakat India yang begitu ketara pada hari ini.

Melalui Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia atau MIB yang saya telah lancarkan pada bulan April lepas, kita berhasrat untuk memastikan kes-kes lama penempatan semula pekerja estet masyarakat India diselesaikan dalam tempoh 5 tahun pelaksanaan MIB serta memastikan kes-kes penempatan semula pekerja estet masyarakat India pada masa depan diselesaikan secara adilnya.

Antara langkah-langkah yang akan kita ambil bagi mencapai sasaran-sasaran tersebut adalah menyediakan satu mekanisme pengantara dan pemudahcara profesional bagi melaksanakan proses rundingan penempatan semula dan mengkaji semula dasar bagi membentuk garis panduan yang jelas berkenaan proses dan kewajipan berkaitan penempatan semula.

Saya dapat merasakan apa yang telah dialami oleh penduduk Taman Permata di Dengkil yang berasal dari empat estet semasa mereka ditempatkan di Flat Taman Permata Dengkil lebih kurang 18 tahun yang lepas. Kesanggupan untuk berpindah dari estet halaman bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk diambil.

Saya selaku Perdana Menteri Malaysia menyanjung tinggi akan kesanggupan penduduk Taman Permata yang telah memberi ruang bagi pembangunan Putrajaya yang kini tersergam indah di mata rakyat Malaysia dan peringkat antarabangsa. Tiada siapa yang dapat menyangkal dan saya dengan bangga ingin mengingatkan bahawa sesunguhnya tanah Putrajaya adalah tanah asal estet yang pernah dicucuri dengan keringat penduduk Taman Permata Dengkil.

Saya dapat menyelami segala cabaran dan perasaan yang dialami oleh penduduk Taman Permata Dengkil selama mereka menetap di flat yang didakwa tidak selamat untuk dihuni. Perlu saya ingatkan bahawa; pelbagai rintangan juga yang terpaksa ditempuhi oleh Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah perumahan Taman Permata Dengkil terutamanya yang berkaitan dengan urusan tanah bersama Kerajaan Negeri. Tetapi, dengan nekad tinggi dan tanpa putus asa kita berjaya juga akhirnya dalam mencari titik penyelesaian.

Hari ini merupakan suatu detik bersejarah kerana penganugerahan rumah teres; ‘landed property’ merupakan suatu penganugerahan hadiah paling berharga dan dinanti-nantikan oleh penduduk Taman Permata. Tiada hadiah lain yang lebih berharga daripada rumah yang boleh dianugerahkan kepada penduduk Taman Permata. Saya percaya penganugerahan rumah teres oleh kerajaan Malaysia kepada penduduk ini membawa titik noktah kepada penantian selama hampir 20 tahun.

Lebih-lebih lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana isu ini berjaya diselesaikan di bawah pimpinan Kerajaan semasa dan untuk itu saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi pada penduduk Taman Permata Dengkil yang telah menaruh “nambikei” atas pucuk pimpinan saya.

Projek PPR Ampar Tenang, Dengkil ini melibatkan kos pembangunan sebanyak RM60 juta bagi pembinaan 400 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan balai komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam. Projek ini dijangka siap pada Julai 2019.

Saya juga dimaklumkan bahawa semasa proses pemindahan pekerja-pekerja daripada 4 ladang tersebut ke Taman Permata Dengkil, terdapat 11 keluarga yang telah tercicir dan tidak mendapat unit rumah di Taman Permata. Jadi, pada hari ini saya sukacita mengumumkan bahawa Kerajaan juga akan membina rumah PPR Ampar Tenang untuk 11 keluarga ini. Saya telah meminta YB Tan Sri Noh Omar supaya KPKT meneliti perkara ini supaya rumah yang mencukupi dapat dibina untuk keperluan semua penduduk yang layak.

Saya berharap projek perumahan PPR Ampar Tenang, Dengkil ini membawa makna amat besar kepada mereka dan projek ini adalah sebagai penghargaan Kerajaan Persekutuan kepada mereka yang sanggup berkorban untuk pembangunan negara. Saya percaya, pelaksanaan PPR ini bukan sahaja bakal memberi manfaat dari segi penyediaan rumah bahkan rakyat juga bakal menikmati rumah yang lebih selesa dan tersusun, Insya-Allah.

Leave a Reply