News_archive

PM yakin Pas ikhlas

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 16 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Saya pernah menyatakan sebelum ini yang kita bersikap terbuka berhubung cadangan tersebut dan kita juga bersedia untuk mendengar dan menimbang cadangan yang dikemukakan oleh Pas mengenainya (kerajaan perpaduan),” katanya yang juga Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel ke 17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Beliau ditanya pandangan serta komitmennya sebagai Perdana Menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan selepas ia mendapat tentangan daripada banyak pihak khususnya pembangkang.

Najib ketika memberi reaksi sebaik sahaja tamat Muktamar Pas ke-55 baru-baru ini menyatakan sikap keterbukaannya terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas itu.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya.

Abdul Hadi pada hari pertama muktamar parti itu di Shah Alam pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya untuk melaksanakan konsep kerajaan perpaduan kerana yakin ia mampu menyelesaikan banyak masalah yang berlaku di negara ini.

Najib ketika mengulas lanjut turut menyifatkan cadangan itu sebagai titik permulaan dalam usaha menemukan antara parti pemerintah dan Pas.

“Ini merupakan satu titik permulaan. Untuk itu, kita perlu risik-risik dahulu. Seperti orang hendak berkahwin kita perlu merisik, jadi atau tidak jadi, hanya takdir sahaja yang dapat menentukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kedua-dua belah pihak boleh mengadakan perbincangan iaitu dengan berasaskan kepada sikap keterbukaannya terhadap cadangan berkenaan.

“Seperti mana saya nyatakan kita berfikiran terbuka dan kita boleh tengok apakah bentuk kerjasama yang sesuai dan selepas itu, kita boleh bincang. Tidak ada masalah,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya kekecohan yang berlaku selepas majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Dewan Rakyat semalam, Najib hanya berkata: “Biasalah, itu dia sengaja nak buat.”

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply