Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
PM: Wakil Rakyat Perlu Beri Perhatian Berat Kepada Kawasan Felda - Najib Razak
News_archive

PM: Wakil Rakyat Perlu Beri Perhatian Berat Kepada Kawasan Felda

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa mengingatkan wakil rakyat dari kawasan Felda supaya memberi perhatian berat kepada masyarakat di tanah rancangan itu.

“Rajin-rajinlah turun padang bersama dengan peneroka Felda, susah senang mereka kita kena tahu. Waktu nak bagi bonus (kepada peneroka) kita (Felda) ada bagi Yang Berhormat (YB), jadi YB bagi (kepada peneroka) bagi pihak Felda.

“Kalau ada apa-apa sumbangan lain kita beri bagi pihak Felda, dengan ini saudara sekalian akan menjadi wakil rakyat yang lebih disenangi dan dekat dihati masyarakat Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri dari kawasan Felda, di sini malam ini.

Najib berkata wakil rakyat dari kawasan Felda juga perlu bekerja lebih keras dalam usaha memajukan masyarakat yang mereka wakili itu.

“Sebagai pemimpin kita mesti tahu bagaimana kepimpinan kita itu boleh diterima dengan baik dalam masyarakat. Apabila yang tersirat dan tersurat kita fahami, maka Felda akan terus menerus menjadi benteng kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sehinggakan pada Muktamar PAS di Ipoh pada tahun 2008, mereka (PAS) mengakui salah satu sebab dia tak dapat menumpaskan kerajaan BN kerana dia gagal menembusi politik rancangan-rancangan Felda yang sebahagian besar menyokong BN dalam pilihan raya lepas,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan menambah peruntukan untuk projek perumahan generasi kedua Felda supaya beberapa rancangan yang ingin dilaksanakan akan dapat diselesaikan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini.

“Untuk membangunkan projek perumahan untuk generasi kedua pada masa ini berjumlah RM290 juta. Tapi nampaknya tujuh rancangan yang ingin dilaksanakan masih tidak mencukupi. Jadi mungkin kita akan tambah lagi peruntukan,” katanya.

Selain itu, pinjaman maksimum RM40,000 tanpa faedah kepada peneroka Felda untuk membaik pulih rumah sedia ada turut ditambah supaya mereka memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Saya tak suka bila saya masuk (tanah) rancangan, ada rumah yang jadi banglo tapi ada juga rumah tak berubah daripada rumah asal. Saya nak tengok supaya rumah asal sudah tiada … semua bina rumah baru supaya Felda mendapat imej yang lebih baik,” kata Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply