News_archive

PM tidak tolak bincang dengan Pas, PKR, DAP

By Monday June 15th, 2009 No Comments

KUCHING: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan melihat dahulu perkembangan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan, serta tidak menolak kemungkinan mengadakan perjumpaan bukan sahaja dengan Pas, malah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Perdana Menteri berkata, kalau tiada rundingan pun, sekurang-kurangnya akan ada perjumpaan untuk berbincang.

Katanya, apa yang penting sekarang sebarang hasil perbincangan hendaklah membawa kebaikan untuk rakyat dan negara.

“Apa-apa yang hendak kita lakukan hendaklah berasas kepada kepentingan rakyat dan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hotel Four Points by Sheraton di sini petang tadi.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, bahawa Pas sedia berbincang dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung penubuhan kerajaan perpaduan dengan syarat PKR dan DAP menyertai perbincangan itu.

Perdana Menteri berkata, setakat ini belum ada rundingan secara rasmi mengenai perkara itu.

“Kita tengok dulu perkembangannya, sebab ini pada peringkat awal lagi. Tapi saya tidak menolak kemungkinan kita akan mengadakan perjumpaan dan sebagainya,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply