News_archive

PM terharu sambutan rakyat

By Saturday April 18th, 2009 No Comments

PEKAN 18 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan perasaan terharu beliau dengan sambutan luar biasa rakyat Pahang terutama penduduk Pekan ketika kepulangan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, 3 April lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau cukup terharu dengan kesetiaan orang ramai yang sanggup berpanas dan berbaris panjang di tepi jalan raya menyambut kepulangannya dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, sungguhpun beliau sendiri dibasahi peluh namun keadaan itu tidak dapat dibandingkan dengan kesetiaan rakyat berbilang kaum termasuk Orang Asli yang setia menunggu ketibaannya.

“Semasa balik tadi, nak berlinang air mata saya melihat sambutan yang diberi,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 30,000 rakyat berbilang kaum yang menyambut kepulangannya di Dataran Pekan hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan.

Menurut Perdana Menteri, sambutan meriah tersebut tidak bermakna rakyat khususnya penduduk Pekan bermegah-megah atau berbangga atas pelantikan beliau itu.

Katanya, sebaliknya ia tanda kesyukuran mereka atas kepulangan beliau yang disifatkan banyak pihak sebagai ‘sirih pulang ke gagang’.

“Saya ucap terima kasih. Sokongan tuan-tuan dan puan-puan amat berharga dan ini detik permulaan, mudah-mudahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kita datang dengan kekuatan baru,” katanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sambutan yang diberikan oleh rakyat kali ini sungguh luar biasa.

Ini kerana, katanya, walaupun mereka sebelum ini sudah biasa berjumpa dan bersalaman dengannya tetapi pada hari ini mereka masih berebut-rebut hendak berbuat demikian.

“Mereka salam lain macam saja dan saya pun salam lain macam juga, mungkin ada getaran agaknya bila dapat bersalam dengan Perdana Menteri,” katanya dalam nada berseloroh dan disambut dengan gelak-ketawa orang ramai.

Dalam ucapan itu, Najib mengingatkan penduduk Pekan bahawa beliau mungkin tidak lagi kerap menjenguk kawasan kerana mempunyai tanggungjawab yang lebih besar selaku Perdana Menteri.

Selain menjaga rakyat dari Padang Besar di Perlis sehingga ke Semporna di Sabah, katanya, beliau juga perlu memainkan peranan di peringkat antarabangsa demi menjaga kepentingan negara.

“Jadi, kalau saya tidak balik tiap-tiap minggu, orang Pekan kena faham,” katanya yang memberi jaminan tidak akan mengabaikan penduduk di kawasan Parlimen beliau itu.

Menurut Perdana Menteri, apa yang penting ialah orang Pekan mesti terus memberi sokongan padu kepada beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pembangunan terus dibawa ke daerah ini.

Pada majlis itu, Najib menzahirkan ucapan penghargaan beliau ke atas sokongan pihak istana dan pemimpin veteran UMNO termasuk mereka yang telah meninggal dunia yang banyak membantu karier politiknya.

Perdana Menteri kemudian menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Sumber : Utusan

Leave a Reply