Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
PM: Semai Konsep 1Belia 1Malaysia - Najib Razak
News_archive

PM: Semai Konsep 1Belia 1Malaysia

By Friday May 15th, 2009 No Comments

MELAKA 15 Mei – Konsep 1Belia 1Malaysia perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini bagi memastikan mereka menjadi pewaris untuk memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan belia menjadi tapak paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengambil konsep 1Belia 1Malaysia.

“Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Lantaran itu, saudara dan saudari sekalian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan Malaysia.

“Dalam kata lain, sungguh pun kita terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan suku mahupun keturunan, kita harus insaf bahawa di bumi Malaysia kita dilahirkan, di bumi inilah kita mencipta kehidupan dan di bumi inilah kita bersemadi.

“Maka di bumi inilah juga kita wajib menumpahkan janji taat dan setia,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan melalui skrin dalam majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20,000 belia dari seluruh negara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perdana Menteri juga mahukan para belia sedar bahawa kerukunan yang Malaysia capai selama ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia dirintis dengan segala jerih dan kepayahan oleh golongan terdahulu.

Najib berkata, belia adalah penentu rupa wajah Malaysia pada masa depan dengan hakikat kejayaan belia adalah kejayaan negara.

“Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi satu sekiranya belianya tidak berpadu.

“Dari itu, terletak di jemala para belia amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan yang mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional yang dibina, jika tidak segala apa yang kita bangunkan akan hancur dan ranap begitu saja,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencabar golongan belia supaya tidak sekadar berpuas hati berada di gerigi peristiwa sebaliknya bersama-sama untuk mencipta sejarah.

Najib turut mengajak belia berganding bahu dalam pentadbirannya untuk bertindak sebagai pelaku-pelaku aktif dalam membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang diimpikan.

“Saya amat yakin sebagai orang muda, saudara dan saudari tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar ruang dialog yang lebih luas antara belia dan kepimpinan tertinggi negara bagi memahami keperluan dan kehendak golongan itu.

Tambahnya, pendapat mengatakan bahawa hanya kerajaan mengetahui apa yang baik untuk golongan belia sudah jauh ketinggalan.

“Lantas untuk memahami aspirasi dan denyut nadi belia, kerajaan kini lebih bersedia menjadi pendengar yang baik dan mempunyai empati terhadap sudut pandangan, keluh kesah, rintihan, pendapat serta saranan saudara dan saudari sekalian,” katanya.

Najib turut meminta pertubuhan belia berusaha menarik golongan muda yang belum menjadi anggota dengan menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif termasuk media alternatif.

Pada masa sama beliau meminta agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia mengkaji semula pendekatan mereka agar tidak bersifat menghakim dan menghukum sebaliknya memahami apakah cita rasa golongan muda.

“Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply