News_archive

PM Selamat Pulang Dari Menghadiri Sidang Kemuncak APEC Di Hawaii

By Tuesday November 15th, 2011 No Comments

SEPANG, 15 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selamat pulang ke tanah air Selasa selepas menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Honolulu, Hawaii.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang ini.

Antara yang menyambut ketibaan beliau adalah para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri menyertai para pemimpin negara Asia Pasifik lain termasuk hos dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bagi membincangkan mengenai kemampanan ekonomi masa depan rantau itu.

Antara atur cara Najib di Hawaii ialah menghadiri mesyuarat para pemimpin Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang pertama pada Sabtu selain perbincangan hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Rusia Dmitry Medvedev.

Perdana Menteri turut menyampaikan ceramah mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global di East-West Center, iaitu satu pertubuhan pendidikan dan penyelidikan yang terkemuka di Hawaii selain menemui para pemimpin kanan AS dan para Ketua Pegawai eksekutif APEC.

Pada Isnin, Najib turut mengulas mengenai pencapaian sidang kemuncak APEC 2011 yang berakhir pada Ahad, sambil memaklumkan para pemimpin kerjasama itu menerima baik Model Baru Ekonomi (MBE) negara yang muncul sebagai satu perubahan kepada ekonomi Malaysia terutamanya dengan menjana peningkatan pelaburan asing sebanyak US$60 bilion serta mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dengan agak pantas.

Najib berkata mereka telah menunjukkan minat dalam pendekatan menyeluruh Malaysia ke arah pembaharuan ekonomi yang berbeza daripada negara mereka.

Sumber : Bernama

Leave a Reply