News_archive

PM Saran Asas Perdagangan M'sia-China Diperluas

By Thursday June 4th, 2009 No Comments

BEIJING, 4 Jun (Bernama) — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata asas perdagangan Malaysia-China yang ada sekarang haruslah diperluaskan.

Ini adalah kerana hampir 67 peratus ekport Malaysia ke China terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik, dan komoditi, terutamanya minyak sawit.

Begitu juga, 65 peratus import Malaysia dari China terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik, dan jentera, peralatan dan alat ganti, katanya pada Forum Perniagaan Malaysia-China selama sehari di sini, Khamis.

Kira-kira 900 peserta menghadiri forum tersebut, dan menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, sambutan yang diterima begitu hangat.

Mustapa berkata ia merupakan forum perniagaan terbesar pernah dianjurkan oleh Malaysia di Beijing sejak 2004.

Dalam ucapan di mana Najib memberikan gambaran menyeluruh tentang peluang perdagangan dan pelaburan, beliau bermula dengan berkata bahawa beliau tidak berhasrat mengatur langkah seperti yang dilakukan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak, dalam menguruskan hubungan dua hala dengan China, sebaliknya akan melangkah dengan lebih pantas kerana China telah membangun dengan begitu pesat sejak tiga dekad yang lalu.

Beliau berkata Malaysia menganggap China sebagai rakan kongsi strategik, bukan sahaja dalam perdagangan, malah juga pelaburan.

Pelaburan China di Malaysia berjumlah AS$134 juga bagi tempoh 2000 hingga 2008, manakala pelaburan Malaysia di China adalah sebanyak 10 kali jumlah tersebut iaitu AS$1.36 bilion.

Malaysia juga merupakan pelabur ke-19 terbesar di China dan pelabur asing kedua terbesar dari Asean.

Tetapi, kata Najib, yang menjadi persoalan utama hari ini ialah bagaimana caranya menggalakkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Kata beliau ternyata ada skop bagi memperluas rangkaian barangan yang kecil ini, bagi memasukkan produk berteknologi tinggi dan bernilai lebih tinggi.

Selain pembuatan, kata Perdana Menteri, kedua-dua negara haruslah memanfaatkan kekuatan satu sama lain dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan lain.

Najib juga menggalakkan pelabur China mengambil kesempatan daripada pelonggaran penuh 27 subsektor perkhidmatan seperti pelancongan dan pembinaan yang diumumkannya baru-baru ini.

Beliau juga menggesa masyarakat perniagaan kedua-dua negara mengadakan kerjasama dan memanfaatkan mekanisme Perdagangan Bebas Asean kerana Kawasan Perdagangan Bebas Asean mempunyai pasaran sebanyak 570 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi AS$1 trilion.

Memandangkan senario itu, memang wajar syarikat China yang mahu memperluas operasi dalam Asean mempertimbang untuk menggunakan Malaysia sebagai pangkalan.

Beliau mengingatkan peserta forum itu bahawa dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China, tarif import akan diturunkan.

Misalnya, China akan menurunkan tarif import ke atas lebih 7,000 produk dari Asean, dan daripada jumlah ini, tarif ke atas lebih 60 peratus produk telah dihapuskan.

Menjelang akhir 2010, sebahagian besar duti ke atas barangan yang memasuki China dari negara-negara Asean akan diturunkan kepada sifar.

Najib berkata dalam konteks Malaysia, penurunan tarif itu juga bererti lebih daripada 9,000 barangan yang diimport dari China ke Malaysia dikecualikan cukai.

Kata Najib meskipun krisis ekonomi global menyebabkan keadaan tidak menentu, namun Asia bukan sahaja akan berjaya mengharungi krisis ini dengan lebih baik daripada Eropah atau Amerika, malah ia akan menerajui dunia meloloskan diri daripada cengkaman kelembapan ini.

“Saya sendiri tidak ragu-ragu bahawa China akan berada di barisan hadapan kebangkitan ini,” tegas beliau.

Sumber : Bernama

Leave a Reply