News_archive

PM sampai ucaptama sidang kemuncak CEO ASEAN hari ini

By Saturday May 30th, 2009 No Comments

PULAU JEJU, Korea Selatan 31 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini bagi menyertai ketua-ketua kerajaan dan negara ASEAN yang lain meraikan 20 tahun hubungan dialog antara gagasan itu dengan Korea Selatan.

Bertemakan ‘Perkongsian yang Sebenar, Persahabatan untuk Kebaikan’ Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya mengumpulkan ketua-ketua kerajaan dan negara 10 anggotanya di pulau peranginan terkenal rakan dialog ASEAN selama dua dekad itu.

Pemimpin ASEAN lain ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Nguyen Tan Dung (Vietnam), Bouasone Bouphavanh (Laos), Jeneral Thein Sein (Myanmar) dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan juga dijadual hadir.

Sidang kemuncak itu yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok, juga cukup bermakna bagi Najib kerana merupakan kunjungan sulung beliau ke republik ini sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju pada pukul 6 petang (5 petang waktu Malaysia) disambut oleh wakil kerajaan Korea Selatan, Duta Moon Ha Hyung. Turut sama Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa dan Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Ramlan Ibrahim.

Esok, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada penutupan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Jeju sempena sidang peringatan itu.

Sepanjang dua hari berada di sini, Najib turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak dan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tang Dung.

Presiden Myung-Bak dalam perutusannya untuk sidang kemuncak itu percaya ASEAN dan negaranya sudah bersedia memasuki fasa baru hubungan yang lebih erat – era baru perkongsian hijau – inisiatif republik itu untuk menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga diperbaharui yang bersih dan lebih mesra alam bagi menangani perubahan iklim dunia.

Justeru teknologi hijau dijangka turut menjadi topik yang menarik minat kedua-dua pemimpin dalam pertemuan mereka kelak. Najib dalam rombakan Kabinet yang diumumkan pada 9 April lalu, menamakan semula Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dengan nama baru iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).

Pada akhir sidang kemuncak peringatan ini, para pemimpin akan memeterai Pernyataan Bersama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan, selain menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelaburan di bawah Kerangka Perjanjian mengenai Kerjasama Ekonomi Tuntas Dalam Kalangan Kerajaan Negara ASEAN dan Korea Selatan, oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Korea Selatan.

Sumber : utusan malaysia

Leave a Reply