News_archive

PM Sampai Penghargaan Dan Terima Kasih Kepada Semua Pelanggan Blognya

By Monday May 25th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan blognya dan mereka yang mengunjungi laman blognya di www.1Malaysia.com.my bagi menyokong konsep 1Malaysia.

“Saya terus menerus mempromosi konsep 1Malaysia, sebagai satu gaya hidup bagi semua rakyat Malaysia dan juga sebagai satu falsafah dalam pentadbiran baru.

“Saya suka untuk membaca respons anda berhubung lapan nilai yang telah saya paparkan bulan lepas dan menggalakkan anda untuk terus melayari www.1Malaysia.com.my untuk berkongsi pandangan dan pendapat ke arah membentuk sebuah negara yang hebat,” katanya dalam mesejnya Selasa.

Najib melancarkan laman web peribadinya www.1Malaysia.com.my pada 16 Sept tahun lepas semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

Laman web itu bertujuan dijadikan sebagai satu forum untuk semua rakyat Malaysia bertukar-tukar pelbagai pandangan berhubung isu-isu penting yang dihadapi mereka selain untuk mempromosi hasrat bersama terutama mengenai keunikan kepelbagaian di dalam negara.

Najib juga melahirkan kebimbangannya mengenai sesetengah pihak yang mahu melaga-lagakan hubungan antara kaum di Malaysia untuk kepentingan politik dan peribadi dan bahawa www.1Malaysia.com.my telah dirancang sebagai portal di mana orang awam boleh secara terus mengambil bahagian secara terbuka dan berdialog secara jujur dengannya.

Laman web itu adalah bagi semua rakyat Malaysia dan beliau menggalakkan kepada mereka yang bergantung dengan Internet untuk mendapatkan maklumat, berkomunikasi dan kepada masyarakat untuk menyertai perbincangan itu.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April tahun ini, Najib terus menerus mengemaskini blognya dari semasa ke semasa.

Pengunjung laman itu boleh membaca ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri dalam blognya.

Bahkan ia telah dimuatkan dalam blog itu semasa beliau sedang menyampaikan ucapan itu secara langsung melalui televisyen.

Sumber : Bernama

Leave a Reply