News_archive

PM rai sambutan Hari Wesak

By Saturday May 9th, 2009 No Comments

KUALA LANGAT 9 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa kira-kira dua jam meraikan sambutan Hari Wesak bersama 2,000 penganut Buddha di Kuil Fo Guang Shan (FGS) Dong Zen, Jenjarom di sini hari ini selaras dengan hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri semua kaum.

Ini kali kedua beliau meluangkan masa meraikan perayaan agama kaum lain di negara ini selepas dilantik Perdana Menteri bulan lalu.

Pada 14 April, beliau meluangkan masa menyambut perayaan Vaisakhi bersama kira-kira 2,000 kaum Sikh di Kuil Tatt Khalsa Diwan, Chow Kit di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada sambutan Hari Wesak Penganut Buddha Malaysia 2009 di kuil itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Dalam ucapannya Najib berkata, beliau memilih untuk melawat kuil tersebut setelah dimaklumkan beberapa pihak bahawa ia adalah antara kuil terbesar di negara ini dengan keluasan tapak kira-kira lapan hektar.

”Saya juga datang ke Kuala Langat ini kerana saya difahamkan penganut Buddha telah lama bertapak di kawasan ini dan jumlahnya juga adalah ramai.

”Ini juga secara jelas memperlihatkan semangat Satu Malaysia apabila kita dapat bersama-sama di bawah satu impian, satu bangsa dan satu negara,” katanya.

Selaras dengan gagasan Satu Malaysia itu, beliau juga berharap penganut Buddha di negara ini dapat bersama-sama seluruh rakyat meraikan Hari Ibu esok dan sambutan ulang tahun penubuhan UMNO, Isnin ini.

FGS Dong Zen yang diasaskan oleh Mahaguru Hsing Yun pada 1996 adalah pusat ibadat, pelancongan, kerja-kerja amal dan bimbingan kaunseling untuk penganut Buddha.

Ia pernah dilawati oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007.

Dalam pada itu, Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan ketika berucap mengalu-alukan kedatangan Najib berkata, kehadiran Perdana Menteri itu sudah pasti dapat mengukuhkan perpaduan antara agama dan kaum di negara ini.

”Saya berharap kedatangan Datuk Seri Najib akan mendorong semua rakyat untuk terus bersatu. Perdana Menteri juga telah menunjukkan contoh bahawa kita perlu mencari kesamaan daripada kepelbagaian agama dan budaya di negara kita.

”Marilah kita mengamalkan prinsip-prinsip keharmonian dan belas kasihan yang dianjurkan Buddha dan ajaran-ajaran agama lain kerana ia boleh menjadikan Malaysia negara demokrasi yang sebenar,” ujarnya.

Sementara itu, Tee Keat yang juga Presiden MCA dalam ucapannya berharap masyarakat Cina dapat meningkatkan tahap integrasi mereka dengan kaum-kaum lain di Malaysia.

”Kita bukan sahaja perlu mempunyai sikap toleransi, malah harus meningkatkannya ke tahap lebih tinggi lagi dengan menyemai perasaan saling menghormati ciri-ciri persamaan serta perbezaan yang wujud dalam budaya dan agama setiap kaum,” katanya.

Tambah beliau, setiap kaum perlu mengamalkan segala prinsip yang terkandung di gagasan Satu Malaysia dalam segenap aspek kehidupan seharian mereka.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply