News_archive

PM Puji Kaedah Kreatif Johor Bina Sekolah Agama Dalam Tempoh Singkat

By Friday March 9th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 9 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji kerajaan negeri Johor kerana berjaya mengadakan kaedah yang kreatif bagi membina sekolah-sekolah agama di negeri ini dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata kaedah yang melibatkan kerjasama dengan pihak swasta dan mendapat pembiayaan institusi kewangan itu adalah amat tepat di kala meningkatnya jumlah ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah agama.

“Ini jadi lebih bermakna jika kita lihat kaedah yang biasa mengambil masa yang agak lama (untuk membina sekolah agama), apatah lagi jumlah murid di negeri ini mencecah 220,000 orang,” katanya semasa merasmikan bangunan Sekolah Agama Taman Molek di Taman Molek di sini.

Sekolah itu yang dibina dengan kos lebih RM2 juta menerusi pinjaman daripada institusi kewangan Islam, Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFHMB), mempunyai lapan bilik darjah dan mampu menampung kira-kira 700 murid akan memulakan sesi pembelajaran April ini.

Sekolah itu merupakan satu daripada 121 buah sekolah agama yang dijadual dibuka di seluruh Johor menjelang tahun 2013 melibatkan kos pembinaan berjumlah RM294 juta. Sebanyak 96 buah sekolah dari fasa satu hingga fasa empat akan siap dibina dalam tahun ini manakala bakinya untuk fasa lima dijadual siap menjelang Oktober tahun depan.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata penggunaan kaedah kreatif itu tertakluk kepada faktor berdaya maju agar mudah mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, nilai-nilai keutamaan dan objektif yang ingin dicapai kerajaan.

Perdana Menteri berkata pada tahun ini kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM100 juta di bawah Kementerian Pelajaran untuk melakukan penambahbaikan sekolah-sekolah agama seluruh negara.

Di samping itu, katanya bantuan per kapita yang dulunya tertangguh selama lima hingga enam tahun sudah dipulihkan di mana kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM95 juta setahun untuk membiayai sekolah-sekolah agama.

Sumber : Bernama

Leave a Reply