News_archive

PM Penuhi Permintaan Penjual Sayur ‘Tolong Sign, Boleh?’

By Tuesday April 12th, 2011 No Comments

KUCHING, 11 April (Bernama) — Kegembiraan terpancar di wajah penjual sayur Chin Sing Chong selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memenuhi permintaannya supaya menurunkan tanda tangannya di bahagian depan kemeja-T 1Malaysia yang dipakai warga emas itu.

“Saya dapat, saya dapat,” katanya sambil menunjukkan simbol 1Malaysia dengan jari telunjuknya dan melaungkan “1Malaysia”.

Penjual sayur berumur 71 tahun itu berkata sejak semalam dia telah memikirkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu yang boleh dijadikan kenangan sempena lawatan sulung Najib ke Pasar Stutong di mana dia mengusahakan gerai sayur di tingkat bawah.

“Semasa kami membasuh sayur semalam, saya memikirkan bagaimana saya boleh jadikan lawatan itu sebagai kenangan, saya tahu akan terdapat banyak anggota keselamatan. Pagi ini saya tiba pukul 7 pagi dan nampak kemeja-T 1Malaysia sedang diagihkan,” katanya.

Najib tiba sejurus selepas 8 pagi dan Chin menunggu sehingga perdana menteri selesai melakukan tinjauan mesra untuk mendekatinya.

“Saya tanya “tolong sign, boleh’?. Perdana Menteri amat baik, saya sangat gembira,” kata Chin yang menurutnya tidak akan membasuh kemeja-T itu selama-lamanya.

Najib diiringi calon-calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri di Kuching pada pilihan raya negeri 16 April ini termasuk Dr Sim Kui Hian pada tinjauan mesra itu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply