News_archive

PM mungkin temui pembangkang

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUCHING 17 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri berkata, UMNO bersikap terbuka kerana yang penting sekali ialah usaha untuk merealisasi kerajaan perpaduan mestilah membawa kebaikan kepada rakyat dan negara secara am.

Beliau berkata, walaupun Pas mencadangkan supaya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dimasukkan dalam cadangan itu, ia masih di peringkat awal.

“Kita tengok dululah perkembangannya (kerajaan perpaduan), sebab ini pada peringkat awal lagi tetapi saya tidak menolak kemungkinan, akan ada perjumpaan dan sebagainya.

“Kalau tidak (mengadakan) rundingan sekalipun, tapi sekurang-kurangnya perjumpaan untuk berbincang akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hotel Four Points By Sheraton dan Projek Pemanjangan Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa parti itu mahu PKR dan DAP turut dilibatkan dalam perbincangan dengan UMNO berhubung isu itu.

Mustafa pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini berkata, perbincangan antara Pas dan UMNO tidak akan berlaku selagi Najib belum membuat pertemuan dengan pemimpin parti pembangkang yang lain.

Najib kini berada di Sarawak sempena lawatan kerja dua hari bermula hari ini.

Mengulas projek pemanjangan landasan LTAK, Najib berkata, ia akan membolehkan pesawat yang lebih besar seperti Boeing 747-400 dan Airbus 380 mendarat.

“Saya berharap idea ini sebagai satu dorongan kepada usaha kita untuk menarik lebih banyak penerbangan dari luar negara mendarat di Kuching,” katanya.

Malah, Perdana Menteri yakin dengan projek tersebut akan menjadikan pertumbuhan untuk penumpang dan kargo bertambah di LTAK pada masa depan.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Penasihat Global Upline Sdn. Bhd., Tan Sri Ting Pek Khiing.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply