News_archive

PM mulakan lawatan ke Brunei

By Wednesday April 29th, 2009 No Comments

BANDAR SERI BEGAWAN 29 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei.
 
Ketibaan beliau disambut oleh menteri pengiring, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Datuk Seri Setia Adanan Mohd. Yusof dan Datin Paduka Salmah Hanafiah.
 
Turut hadir Ketua Protokol Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Anuar Lisa serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.
 
Perdana Menteri dan isteri kemudian diberi penghormatan melintasi Kawalan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
 
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk A. Kohilan Pillay.
 
Pada hari pertama lawatannya ke Brunei selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, Najib diraikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri-isteri baginda, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar pada majlis makan malam di Istana Nurul Iman.
 
Terdahulu kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan hubungan dua hala Malaysia- Brunei.
 
Esok, Perdana Menteri akan bertemu dengan komuniti Malaysia yang menetap di negara ini sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply