News_archive

PM: Malaysia Boleh Main Bahagian Penting Dalam Koridor Pertumbuhan Baharu

By Tuesday January 24th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia boleh memainkan peranan bahagian penting di dalam usaha pembentukan koridor pertumbuhan baharu, yang meliputi China, melalui Asia Tenggara dan India hingga ke Timur Tengah.

Sambil menegaskan mengenai kepentingan koridor baharu itu, Perdana Menteri berkata perkongsian China-Asean-India-Timur Tengah itu akan dapat mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan yang besar.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelancaran Majlis Perniagaan Global kena pada masanya kerana ini akan menjadi satu cara merapatkan para pemimpin perniagaan dan usahawan yang bukan sahaja dari China, India, Asean dan Timur Tengah, malah masyarakat keturunan China yang berselerak di seluruh dunia.

“Sekarang adalah masa kita dan ini adalah peluang kita. Jadi marilah kita mengambil kesempatan ini di dalam sejarah ekonomi dunia dan memastikan kurun ke-21 diterajui oleh Asia,” katanya semasa berucap pada majlis pengurniaan khas dan pelancaran Majlis Perniagaan Global Forum Ekonomi China (WCEF) di sini Rabu.

Majlis itu menyaksikan pengurniaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat terhadap Najib oleh Penasihat WCEF Datuk Seri Chua Soi Lek dan Penaung WCEF Tan Sri Lee Kim Yew.

Najib menerima anugerah itu berikutan langkah berani dan sumbangannya ke arah mentransformasi negara Malaysia, terutama sekali transformasi ekonomi.

Perdana Menteri berkata, di dalam iklim ekonomi semasa dan dengan zon Euro masih berada di dalam keadaan kewangan yang buruk, dan Malaysia yang terletak di sebelah timur — khususnya China, India, Asean dan negara-negara Teluk — bagi merangsang pemulihan ekonomi global dan mengemudikan pertumbuhan ekonomi dunia.

“Saya tidak menggalakkan usaha persaingan yang wujud sejak sekian lama tetapi kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain tetapi berasaskan keadaan ekonomi yang sedang kita hadapi sekarang ini, Asia perlu menjadi peneraju,” katanya.

Majlis Perniagaan Global, yang dijangka menghubungkan lagi para pemimpin perniagaan dan usahawan dari China, Asia Tenggara, Australia dan Eropah, itu akan turut menyediakan platform lain bagi dilakukan pertukaran idea perniagaan, perkongsian pengalaman dan pengukuhan hubungan antara negara-negara di rantau ini.

Majlis itu, yang dibuka bukan sahaja bagi ahli perniagaan China malah bagi ahli perniagaan kesemua bangsa dan keturunan dan turut menggalakkan kerakyatan korporat global, tadbir urus korporat, etika perniagaan dan pertumbuhan hijau.

Majlis Perniagaan Global itu akan diketuai oleh John So, Datuk Bandar Melbourne paling lama berkhidmat dan anggota panel Penasihat Antarabangsa majlis itu akan turut dianggotai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi Bersama Public Bank Tan Sri Thong Yaw Hong dan beberapa tokoh yang lain dari negara yang mengambil bahagian.

ASLI akan menyediakan sekretariat sokongan bagi Majlis Perniagaan Global di sini dengan cawangan lain akan diwujudkan di China, Hong Kong, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply