News_archive

PM: Malaysia Akan Yakinkan Negara Maju Kaji Semula Sekatan Terhadap Myanmar

By Thursday March 29th, 2012 No Comments

NAYPYITAW (Myanmar), 29 Mac (Bernama) — Malaysia, yang menyokong proses pembaharuan yang berlaku Myanmar, akan cuba menyakinkan negara-negara maju agar mengkaji semula sekatan yang dikenakan terhadap negara tersebut.

Jaminan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemu Presiden U Thein Sein sempena lawatan rasmi dua harinya ke Myanmar yang berakhir Khamis.

“Kalau tidak dapat dihapuskan sama sekali tapi perlulah dikaji dan dikurangkan secara beransur-ansur,” kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatannya di sini.

Najib berkata beliau dan pemimpin Myanmar itu telah berbincang mengenai pembaharuan yang berlaku di negara tersebut yang disifatkan Thein Sein sebagai “mustahil untuk kembali kepada keadaan sebelum ini”.

Katanya Malaysia berkeyakinan dengan perubahan yang berlaku dengan Myanmar “baru” dan ia kini berada dalam transisi kepada menjadi lebih terbuka, lebih demokratik dan progresif.

Beliau berkata respons komuniti antarabangsa sepatutnya mencerminkan penerimaan dan pengiktirafan mereka terhadap proses pendemokrasian yang berlaku di Myanmar.

Najib berkata antara perkembangan penting dalam pembaharuan yang cuba dilaksanakan Myanmar ialah pilihan raya kecil pada Ahad ini.

“Jika ia (pilihan raya) berlaku secara adil, ia akan menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa pembaharuan yang berlaku adalah sesuatu yang akan berjalan berterusan,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau kagum dengan tahap perkembangan pembaharuan yang berlaku di Myanmar dan kesediaan mereka untuk melakukan pembaharuan dan berubah.

“Tempoh masanya (proses pembaharuan), mereka patut putuskan sendiri. Apa yang kita boleh lakukan ialah memberi galakan dan sokongan kepada mereka supaya proses itu tidak dibalikkan seperti sedia kala tetapi berjalan lancar,” katanya.

Najib pada majlis perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Myanmar sebelum itu berkata lawatannya ke Myanmar telah dibuat pada “masa yang tepat” kerana Malaysia mahu memberikan isyarat menyakinkan berhubung dengan proses pembaharuan di Myanmar.

“Kita ingin nyatakan dengan jelas bahawa laluan bagi pembaharuan itu perlu menyerlahkan komitmen jitu mereka, komitmen yang tidak akan dibalikkan kepada sedia kala ke arah menjadi sebuah masyarakat yang lebih progresif dan demokrasi.

“Sebaik sahaja semua itu sudah jelas, ia merupakan masa yang tepat untuk saya membuat kehadiran di sini,” katanya semasa menjawab soalan daripada audien mengenai lawatannnya itu.

Sebagai rakan akrab Myanmar untuk bertahun-tahun lamanya, Malaysia telah menggesa negara itu melaksanakan pembaharuan dan telah menghulurkan bantuan ketika negara itu berdepan kesulitan.

“Kami adalah kawan ketika masa susah dan kami akan terus menjadi kawan di masa depan,” kata Najib.

Pada sidang akhbar itu Perdana Menteri yang turut ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan bekas tahanan politik Aung San Suu Kyi, berkata beliau akan menimbangkan untuk bertemu tokoh politik itu di masa depan.

Suu Kyi, pemimpin National League for Democracy (NLD), telah memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu di satu kawasan dekat Yangon.

Sumber : Bernama

Leave a Reply