News_archive

PM Mahu Bernama Terus Jadi Institusi Penting Penyampaian Berita Dan Maklumat Negara

By Monday August 15th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus menjadi institusi penting dalam penyampaian berita di negara ini.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Bernama. Bernama mempunyai peranan yang sangat penting dan saya harap Bernama akan terus melakukan inovasi sebagaimana yang telah dilakukan.

“Mudah-mudahan Bernama terus merupakan institusi yang penting dalam landskap penyampaian maklumat dan berita di tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama media yang dihoskan Bernama di Wisma Bernama di sini, Isnin malam.

Beliau merupakan perdana menteri pertama yang melawat agensi berita nasional yang kini berusia 43 tahun itu.

Najib juga gembira agensi berita nasional itu terlibat dengan penyampaian bahasa-bahasa utama di negara ini dan juga beberapa bahasa asing termasuk Arab dan Sepanyol.

Selain arkib foto, Bernama juga menpunyai saluran radionya sendiri iaitu Radio24 dan stesen televisyen yang disiarkan melalui Astro 502.

Beliau berkata pekerja-pekerja di Bernama yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang juga mencerminkan ‘microcosma’ negara Malaysia.

“Kepelbagaian stafnya merupakan masyarakat berbilang bangsa. Ini adalah ‘microcosma’ Malaysia yang sebenarnya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply