News_archive

PM Komited Terus Bangunkan Iskandar Malaysia

By Monday April 20th, 2009 No Comments

JOHOR BAHARU, 20 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat akan meneruskan komitmen pembangunan Iskandar Malaysia bagi menjadikannya sebuah pusat pertumbuhan baru di negara ini.

Perdana Menteri berkata dasar pembangunan Iskandar Malaysia kerajaanya merupakan kesinambungan dari dasar pentadbiran bekas Perdana Menteri ke-lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

“Sudah sampai masanya satu pusat pertumbuhan baru wujud di Semenanjung negara ini kerana keadaan di Lembah Klang akan menjadi padat dengan kehadiran rakyat dari negeri lain terutama Pantai Timur ke kawasan berkenaan.

“Oleh itu, apabila ada kawasan pertumbuhan yang membangun yang mendapat suntikan dari dalam dan luar negara, maka rakyat akan mempunyai pilihan untuk berhijrah ke kawasan seperti Iskandar Malaysia ini,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap pada program pertemuan bersama kakitangan perkhidmatan awam, di sini Isnin. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamed Yassin, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan pusat dalam merencanakan pembangunan Iskandar Malaysia akan meminta pandangan kerajaan Johor bagi menjayakan koridor pembangunan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Johor tidak akan terpinggir dengan pembangunan tersebut dan tetap mendapat pelbagai habuan daripadanya.

“Bukan masanya kita cuba politikkan isu Iskandar Malaysia. Saya percaya kita tidak perlu menjadikan projek ini sebagai polemik politik tetapi melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

“Dengan suntikan dari pelaburan luar, adanya pelaburan berteknologi tinggi, pembangunan eko pelancongan, perubatan dan pengajian tinggi antarabangsa, sudah tentu kita akan berbangga kerana Iskandar Malaysia ini akan meletakkan Johor di peta dunia,” katanya.

Projek pembangunan Iskandar Malaysia dilancarkan oleh Sultan Johor pada November 2006 yang merangkumi kawasan seluas 2,217 km persegi, yang merupakan tiga kali ganda luasnya daripada Singapura.

Sejak dirasmikan, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan RM40 bilion dari dalam dan luar negera yang menghampiri sasaran pelaburan RM47 bilion pada 2010.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi menegaskan bahawa slogan “Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan” dalam pentadbiran barunya bukan bersifat sentimen sebaliknya kesamaan yang adil berlandaskan perlembagaan negara.

Beliau berkata slogan berkenaan menjadi pelengkap kepada pembangunan Tun Abdullah berteraskan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” dan “Wawasan 2020” yang diperkenalkan Perdana Menteri Ke-empat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata cara pentadbirannya adalah menekankan konsep mesra rakyat dengan tidak mementingkan sambutan berlebihan ketika turun padang bertemu rakyat termasuk disambut dengan permaidani merah mahu pun bungga manggar.

“Saya harap akan menjadi cara kepada pemimpin kerajaan untuk turun bertemu rakyat tanpa perlunya permaidani merah,” katanya.

Menurutnya, konsep tender terbuka juga menjadi prinsip pentadbirannya dalam usaha mengurangkan rasuah di dalam kerajaan sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaannya.

Najib juga menasihati wakil rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan supaya sentiasa mendengar rintihan rakyat dalam menjalankan tugas selain mengamalkan sikap rendah diri.

“Adalah penting sebagai wakil rakyat kita mendengar rintihan rakyat, bertawaduk dan rendah diri. Jangan ‘syok sendiri’,” tegas Perdana Menteri.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply