News_archive

PM: Kerajaan Akan Belanja RM2.2 Bilion Bangunkan Mada Dalam Tempoh 10 Tahun

By Thursday July 28th, 2011 No Comments

GUAR CHEMPEDAK (KEDAH), 28 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM2.2 bilion dalam tempoh 10 tahun bagi membangunkan kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Beliau berkata projek pemulihan kawasan MADA bermula tahun ini dan peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf dan memulihkan infrastruktur seperti tali air, jalan ladang dan pengambilan tanah.

“Untuk tahun ini sahaja kerajaan pusat memperuntukkan RM45 juta bagi pengambilan tanah dan membaik pulih infrastruktur,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan rakyat yang dihadiri kira-kira 15,000 orang di padang awam di sini, Khamis.

Menurut Perdana Menteri peruntukan besar itu disasarkan untuk meningkatkan penghasilan padi daripada purata 6.5 metrik tan sehektar kepada lebih 10 metrik tan menjelang tahun 2020.

Katanya kerajaan pusat akan terus membantu golongan petani meningkatkan pendapatan.

“Setiap tahun petani mendapat subsidi sebanyak RM2,500 untuk sehektar. Masa banjir kita bagi lagi….sampai tilampun kita bagi.

“….siapa tolong….kita….kerajaan pusat,” kata Najib sambil memberi pengakuan akan terus membantu petani, yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menarik perhatian kehadiran lebih 15,000 penyokong Barisan Nasional (BN) di Guar Chempedak, melebihi jumlah kumpulan demonstrasi anjuran kumpulan tidak berdaftar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lepas.

“Mereka memaparkan dalam laman web YouTube menunjukkan Mat Sabu (Mohamad Sabu – Timbalan Presiden PAS) cedera kena pukul dan dikasari polis.

“Jangan nak kelentong….temberang habis. Naik kerusi roda pula. Boleh bagi oskar untuk lakonan ini tapi tak kena pukulpun. Malah polis tak kasarpun,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata mengikut teori politik, persepsi orang ramai sukar diubah apabila disaji berulang kali dengan pelbagai unsur yang menarik simpati mereka dan kerana itu rakyat mesti diberi kefahaman mengenai isu yang dimainkan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply