News_archive

PM janji tebus ‘kerugian’ di negeri pembangkang

By Friday May 11th, 2012 No Comments

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan ‘kerugian’ dialami rakyat di negeri dikuasai pembangkang akibat ketiadaan pelaburan asing akan berakhir jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negeri berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri menegaskan, tiada pelabur berminat memulakan operasi di negeri yang gagal menyediakan infrastruktur penting seperti bekalan air bersih walaupun Kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai insentif bagi menggalakkan mereka melabur di negara ini.

“Meskipun Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelabur asing, operasi mereka gagal direalisasikan berikutan keengganan kerajaan negeri dikuasai pembangkang seperti Selangor memberi kerjasama dalam projek bekalan air bersih.

Tidak ada potensi perniagaan kalau tidak ada kerajaan yang boleh menjamin persekitaran kondusif dan kemudahan asas mencukupi. – Najib Razak, Perdana Menteri “Tidak akan ada potensi perniagaan kalau tidak ada kerajaan yang boleh menjamin persekitaran kondusif dan kemudahan asas mencukupi.

“Kerajaan Persekutuan menyediakan perkitaran mesra pelabur. Macam mana kita hebat dalam perniagaan pun, kalau tiada persekitaran perniagaan mesra pelabur, kita sukar berjaya,” katanya.

Najib berkata demikian berucap merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana bertemakan ‘Jom Niaga’ anjuran MITI dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) di pekarangan pejabat Kumpulan Karangkraf di sini, semalam.

Program disertai 350 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu bertujuan membuka ruang untuk mereka memperluas pemasaran produk masing-masing.
Najib mengambil contoh keengganan kerajaan Selangor bekerjasama menyediakan kawasan bagi projek Loji Rawatan Air Langat 2, berkata ia menyebabkan 129 kilang diluluskan MIDA di negeri ini gagal dilaksanakan akibat ketiadaan bekalan air mencukupi.

“Rizab air Selangor hanya tinggal 2.4 peratus. Ada 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion yang kalau dibenarkan melabur, menyediakan 12,000 peluang pekerjaan.

“Peniaga di Kompleks PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) juga mengadu apabila kerajaan negeri menaikkan sewa 100 peratus, sama ada Kerajaan Pusat boleh mengambil alih kompleks itu. Lebih mudah kalau kita dapat ambil balik Selangor pada pilihan raya ini,” katanya.

Najib turut mengumumkan peruntukan pinjaman RM500 juta mengikut Skim Pembiayaan Patuh Syariah yang disediakan SME Corp khusus untuk PKS yang menghasilkan produk atau perkhidmatan berinovasi.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply