News_archive

PM Janji Selesai Kemelut Umno Perlis, Kata Shahidan

By Sunday January 9th, 2011 No Comments

GUA MUSANG, 9 Jan (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji akan menyelesaikan kemelut yang melanda kepimpinan UMNO Perlis yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara itu diberitahu sendiri Perdana Menteri semasa beliau menemuinya beberapa hari lepas bagi menyatakan pendiriannya berhubung kemelut yang berlaku itu.

Katanya, bagi beliau tetap berkeras tidak boleh bekerjasama dengan Md Isa walaupun beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan sejak akhir Disember lepas.

“Soal perlantikan saya sebagai timbalan, Md Isa tidak timbul, tetapi yang saya pertikaikan masalah dalaman UMNO negeri berkenaan berlarutan sejak selepas pilihan raya umum 2008 lagi sampai sekarang tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 50 keluarga mangsa kebakaran dua hari lalu, di Pusat Sivik Gua Musang.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kedudukannya selepas mengeluarkan kenyataan baru-baru ini yang mempertikaikan Md Isa dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Shahidan berkata beliau menemui Perdana Menteri bersama Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor dan mereka menyuarakan persetujuan untuk meneliti balik perkara berkenaan bagi menegakkan kebenaran.

Katanya, beliau sedia bekerjasama jika kemelut itu dapat diselesaikan berdasarkan persetujuan perdana menteri nanti.

Sumber : Bernama

Leave a Reply