News_archive

PM Isytihar Bandar Pusat Jengka Sebagai Bandar Tun Abd Razak Khamis Ini

By Tuesday July 5th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama)– Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengisytiharkan Bandar Pusat Jengka, Pahang dikenali sebagai Bandar Tun Abdul Razak sempena dengan sambutan Hari Peneroka Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan majoriti penduduk di kawasan tersebut adalah kalangan warga Felda yang telah berusaha dan memajukan kawasan rancangan itu.

“Ia juga adalah selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bahawa selain membasmi kemiskinan…Felda juga ingin mewujudkan kawasan-kawasan bandar yang sebelum ini tidak pernah difikirkan setiap orang dan ia merupakan satu manifestasi.

“Selain Bandar Pusat Jengka, Pahang…kita juga sedia maklum bahawa Felda telah membangunkan beberapa bandar antaranya Felda Jaya Trolak, Perak, Felda Jaya Mempaga, Bentong, Pahang, Felda Jaya Raja Alias, Negeri Sembilan dan Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor.

“Ini membuktikan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak menjadikan kawasan pedalaman menjadi bandar melalui Felda, semakin memperlihatkan kemajuannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Selasa.

Berhubung dengan sambutan Hari Peneroka yang bertemakan “Melestari Kesejahteraan Peneroka” Ahmad berkata 12,000 hingga 15,000 orang peneroka dijangka hadir.

Beliau berkata beberapa program telah disediakan sempena sambutan itu termasuk Anugerah Sekolah Bestari, Khidmat Bakti Felda, Anugerah Keusahawanan Felda dan Anugerah Keceriaan Kampung Felda.

Sumber : Bernama

Leave a Reply