News_archive

PM Hadiri Pertemuan Dengan Komponen BN Pahang

By Saturday January 21st, 2012 No Comments

KUANTAN, 21 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengadakan pertemuan dengan kira-kira 300 pemimpin mewakili semua sayap komponen Barisan Nasional (BN) negeri Pahang.

Pertemuan tertutup itu berlangsung lebih sejam di bangunan Yayasan Pahang di sini, sempena lawatan sehari Najib ke negeri ini.

Pada majlis itu, mereka melafazkan ikrar taat setia dan sokongan kepada Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Selain itu, difahamkan BN Pahang menyerahkan soal pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kepada Najib.

Terdahulu, Najib disambut dengan laungan bersemangat “Kami sayang PM, kami cinta PM, we love PM” oleh anggota Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang (Mampan) setibanya di bangunan yayasan itu.

Kumpulan mahasiswa itu turut menyampaikan memorandum kepada Najib, yang antara lain menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan negara dan kepimpinan negeri.

Kandungan memorandum itu menyebut Mampan menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan kerana ia hanya menjejaskan imej dan ekonomi negara serta merosakkan infrastruktur awam dan menyusahkan rakyat.

Mereka juga menolak ideologi ekstremis yang dibawa sesetengah kelompok mahasiswa yang dilihat membelakangkan nilai-nilai murni mahasiswa.

Turut hadir pada pertemuan hari ini ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Anggota-anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Saifuddin Abdullah (Temerloh), Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan dan Adun Sabai Datuk M.Davendran.

Sumber : Bernama

Leave a Reply