News_archive

PM Gesa Syarikat China Timbangkan Penyenaraian Di Bursa Malaysia

By Wednesday June 3rd, 2009 No Comments

BEIJING, 4 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan harapan untuk melihat lebih banyak syarikat China meninjau kemungkinan menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Malaysia.

Beliau turut meminta mereka menimbang untuk melabur di Iskandar Malaysia di Johor dan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.

Beliau berkata sudah terdapatnya penyertaan syarikat China dalam projek empangan hidroelektrik Bakun.

“Terdapat banyak lagi empangan yang sedang dirancang untuk Sarawak dan anda boleh membawa pakar pembinaan anda menceburi produk hidro elektrik,” kata Najib dalam ucapan aluannya di perbincangan meja bulat dengan usahawan China dan ahli-ahli Majlis Perniagaan Malaysia-China di sini.

Malah, Najib berkata beliau mahu melihat lebih ramai usahawan dan pelabur dari China di Malaysia.

“Saya mahu memberi jaminan kepada usahawan dan pelabur dari China yang anda amat dialu-alukan di Malaysia. Kerajaan kami amat pro perniagaan dan sebuah kerajaan yang mesra pasaran yang akan memudahkan perjalanan perniagaan di Malaysia,” tegas beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia yang telah beranjak menjadi negara ke-18 paling kompetitif di dunia, juga telah meningkatkan sistem penyampaian awam dan memendekkan proses kelulusan untuk perniagaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia berharap menyaksikan lebih banyak kerjasama antara usahawan China dan Malaysia dalam sektor perkhidmatan kewangan, tenaga diperbaharui, teknologi hijau, pendidikan, penjagaan kesihatan, air, pelancongan, makanan halal selain daripada usaha sama sedia ada dalam pembangunan hartanah dan pembuatan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply