News_archive

PM Dijangka Umum Berita Baik Untuk Penduduk Labuan Pada 26 Feb Ini

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

LABUAN, 20 Jan (Bernama) — Penduduk di sini dijangka menerima berita baik berhubung isu air yang dihadapi dan juga pembangunan di Pulau Daat ketika lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual 26 Feb ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kedua-dua isu itu telah mendapat perhatian Perdana Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatannya di sini hari Khamis, Raja Nong Chik berkata beberapa usaha untuk menjadikan Labuan sebagai hub utama minyak dan gas di rantau ini sudah ada dalam perancangan.

Beliau juga berkata beberapa projek minyak dan gas dengan nilai keseluruhan RM1 bilion akan dilaksana di Pulau Daat.

Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib berkata beberapa projek bermasalah termasuk pembinaan pasar baru dan terminal bas di sini akan disambung semula tahun ini.

“Kita telah melantik beberapa kontraktor untuk menyelamatkan projek-projek ‘sakit’ itu,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply