News_archive

PM Dijangka Berbasikal Bersama 1,000 Belia Johor Sabtu Ini

By Thursday March 8th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 8 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berbasikal bersama lebih 1,000 belia Johor terdiri daripada pelbagai kaum, Sabtu ini bersempena dengan lawatan kerja dua harinya ke Johor bermula esok.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Puteri Wangsa Datuk Abdul Halim Sulaiman berkata, Perdana Menteri akan berbasikal bersama belia pelbagai kaum di kawasan rekreasi Taman Setia Indah di sebelah pagi, pada hari kedua lawatan.

“Selepas berbasikal bersama belia, Perdana Menteri akan melakukan tinjauan mesra dan bersarapan pagi di Medan Selera, Pasar Awam Taman Setia Indah dalam program pada hari kedua lawatannya,” katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Perdana Menteri yang akan tiba di Johor Baharu esok mempunyai jadual ketat sepanjang dua hari di negeri ini, dengan acara pertama melibatkan pelancaran program Transformasi Koridor dan Bandaraya Iskandar Malaysia di Pusat Konvensyen Persada Johor.

Petang esok, Najib juga dijadual melakukan tinjauan mesra di pekan Kampung Melayu Majidee, sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee.

Pada sebelah malam pula, beliau dijangka menghadiri majlis jamuan pemimpin bersama rakyat di Sutera Mall.

Pada Sabtu di hari kedua lawatannya ke Johor, Perdana Menteri dijadual menghadiri pelancaran program Jelajah Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno di Stadium Perbandaran Pasir Gudang.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, juga dijangka melancarkan Mini Ekspo Permata 2012 bertempat di Stadium Tertutup Bandaraya Johor Baharu pada Sabtu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply