Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
PM Dijadual Rasmi Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 13 Jun - Najib Razak
News_archive

PM Dijadual Rasmi Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 13 Jun

By Thursday June 4th, 2009 No Comments

KUCHING, 5 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009 di Stadium Perpaduan Kuching di sini, 13 Jun ini.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini berkata majlis bertemakan “Satu Malaysia Segulai Sejalai” itu membuktikan semangat muhibah dan toleransi di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Walaupun Hari Gawai asalnya untuk satu kaum (Dayak), rakyat Malaysia telah menerimanya sebagai perayaan nasional yang boleh diraikan bersama,” kata kenyataan itu.

Sempena sambutan itu satu pameran khas mengenai tradisi, kraftangan dan demonstrasi masakan tradisional Sarawak turut diadakan bermula 12 Jun hingga 14 Jun di Tebingan Kuching di sini.

Antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Perayaan Gawai Dayak diraikan masyarakat Dayak yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu pada setiap 1 Jun sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran selepas tamat musim menuai.

Bagi masyarakat Dayak di Sarawak terdapat beberapa lagi ketegori perayaan Gawai yang masih diwarisi sejak turun temurun sejajar dengan kepercayaan datuk nenek moyang mereka seperti Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Padi, Gawai Antu, Gawai Pankong Tiang, Gawai Sakit, Gawai Umai, Gawai Tajau dan Gawai Pengap.

Perayaan ini diadakan sebagai langkah untuk memohon kesejahteraan dan kemakmuran daripada dewa dewi kepercayaan mereka yang dikenali sebagai keling dan kumang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply