News_archive

PM Diberi Sambutan Mesra Dan Besar-besaran Di Beijing

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

BEIJING, 3 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini diberikan sambutan mesra dan besar-besaran oleh rakan sejawatannya dari China Wen Jiaobao dalam upacara sambutan khas di perkarangan Great Hall of the People yang bersebelahan dengan Dataran Tiananmen yang terkenal itu.

Najib turut diberikan penghormatan tembakan meriam 19 das dalam upacara berwarna-warni itu dengan bendera kedua-dua negara berkibar megah dihembus bayu musim panas sambil beribu-ribu pelancong ke kawasan itu memerhatikan dari jauh.

“Jalur Gemilang” dan bendera China turut dikibarkan di tempat strategik sepanjang jalan utama menuju ke Great Hall of the People.

Perdana Menteri, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa dalam perarakan kereta ke upacara sambutan itu. Mereka disambut oleh Wen ketika keluar dari limusin kira-kira 5.15 petang.

Wen kemudian memperkenalkan Najib kepada beberapa pegawai kerajaan China sebelum Perdana Menteri Malaysia memperkenalkan pemimpin China kepada beberapa menteri Kabinet dan isteri mereka yang hadir pada upacara rasmi itu.

Najib dan Wen kemudian mengambil tempat masing-masing di atas pentas khas sebelum lagu rasmi kedua-dua negara, “Negara Ku” dan “March of the Volunteers”, dimainkan oleh pancaragam tentera.

Ini disusuli dengan Wen mengiringi Najib untuk memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada gabungan perkhidmatan angkatan tentera China — tentera darat, laut dan udara.

Upacara itu berakhir dengan perbarisan lintas hormat oleh anggota pasukan tentera.

Sumber : Bernama

Leave a Reply