News_archive

PM di tiga rangkaian radio AMP

By Wednesday September 21st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul sebagai tetamu siaran radio MIX fm, Era FM dan hitz.fm, rangkaian radio milik AMP Radio Networks.

Dengan berpakaian kasual, Perdana Menteri tiba di MIX fm, stesen berbahasa Inggeris ketiga popular di Malaysia seawal pukul 7.30 pagi.

Dalam temu bual di stesen radio itu, Najib menyentuh tentang minatnya terhadap kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, jadual kehidupan seharian, tanggungjawabnya sebagai pemimpin sehinggalah beliau sebagai bapa kepada seorang anak remaja, Nor Ashman.

Najib turut mengambil bahagian dalam program Battle of the Sexes yang dikendalikan oleh DJ Jason Desmond (JD) dan Adila Shakir (Dilly).

Dalam pada itu, semasa ditemubual oleh Aznil Nawawi, Shah Reza Mohd. Shah (Ray) dan Haniff Hamzah di radio Era FM iaitu stesen radio nombor dua paling popular, Perdana Menteri memberitahu kepada para pendengar mengenai pentingnya melakukan senaman selain menyatakan komitmennya untuk melakukan terbaik bagi negara ini.

Sementara itu, di hitz.fm. iaitu stesen radio berbahasa Inggeris nombor satu, Perdana Menteri sambil dibantu oleh DJ Johan Fernandez (JJ) dan Tengku Ean Tengku Nasrun (Ean) serta Pengurus Rangkaian AMP Radio Networks, Mohamed Raqeem Brian Abdullah berpakat mengenakan panggilan Gotcha kepada Pengurus Besar Rangkaian AMP Radio Networks, Yaacob Bakhtiar Abdullah.

Berikut sedutan temu bual di studio di MIX fm dan ERA fm.

MIX fm (JD): Saya difahamkan Datuk Seri merupakan peminat setia kelab terkenal Inggeris, Manchester United.

Perdana Menteri: Saya fikir semua orang tahu tentang ini.

MIX fm (Dilly): Untuk pengetahuan Datuk Seri JD juga merupakan peminat setia Manchester United.

Dia memilih pasukan yang tepat.

MIX fm (JD): Apa komen Datuk Seri terhadap pencapaian Manchester United pada awal musim kali ini.

Nampaknya Manchester United telah melakukan permulaan yang baik apabila berjaya mengumpulkan 15 mata hasil daripada lima perlawanan. Menang dengan Arsenal (8-2), Bolton (5-0).

Persembahan dan jaringan yang dilakukan oleh pasukan Manchester United sukar dipercayai, tidak pernah didengar dalam musim-musim lalu dan ini adalah permulaan yang menakjubkan.

Namun kita harus sedar EPL merupakan salah satu liga paling hebat saingannya di dunia. Oleh itu, untuk mempertahankan rentak persembahan dalam tempoh jangka yang panjang terutama menjelang Krismas dan tahun baru, itu bukan satu tugas mudah.

MIX fm (Dilly): Mari kita bincang selain bola sepak. Pukul berapa Datuk Seri memulakan kehidupan seharian?

Sebaik sahaja saya menjalankan tugas baru saya (sebagai Perdana Menteri) masa siang saya menjadi lebih panjang, manakala waktu malam saya semakin pendek. Itu adalah petunjuk terhadap tanggungjawab serta tugas yang harus saya pikul selain masa saya bertemu dengan rakyat termasuk di rumah.

Kita juga tidak ada cukup masa di pejabat untuk lakukan kerja-kerja apa yang saya katakan ‘bahagian untuk berfikir’. Saya percaya kebanyakan daripada kita bekerja di pejabat dalam tempoh tertentu tetapi hanya sedikit sahaja daripada kita mampu duduk dan berfikir serta bertindak balas apa yang harus dilakukan antaranya seperti mengatur strategi dalam menentukan hala tuju kita.

MIX fm (Dilly): Terutama bagi seseorang seperti Datuk Seri kerana Datuk Seri sekarang menerajui pemerintahan sebuah negara.

Ya, saya ini umpama Ketua Pegawai Eksekutif bagi sebuah syarikat malah lebih besar (daripada) itu.

MIX fm (JD): Bagaimana Datuk Seri uruskan masa bagi tempoh 24 jam sehari?

Kita perlu katakan pada diri sendiri bahawa itu sahaja tempoh yang kita ada. Kita perlu uruskan masa dengan sebaik-baiknya dan kita perlukan masa untuk diri sendiri, untuk beriadah mahupun menonton rancangan kegemaran. Kita perlukan itu kerana kita semua adalah manusia. Selama mana kita berjaya menyeimbangkan cara hidup kita, kita tidak akan menghadapi tekanan.

MIX fm (JD): Datuk Seri seorang yang amat sibuk. Cuma saya hendak bertanya adakah Datuk Seri atau pegawai Datuk Seri menjawab tweeter serta Facebook?

Saya lakukannya sendiri tetapi ada masanya pegawai saya yang lakukan untuk saya. Setiap kali saya tweet dan saya akan menerima reaksi begitu segera daripada pengikut saya. Dalam tempoh dua minit sahaja mereka telah memberi maklum balas. Ini sesuatu yang amat baik dan begitu juga dengan Facebook.

MIX fm (JD): Siapakah tokoh pemimpin dunia yang Datuk Seri temui boleh disifatkan sebagai hebat?

Saya begitu tertarik dengan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela. Beliau merupakan seorang yang begitu pemaaf walaupun pernah menjadi mangsa kekejaman (kerana dipenjarakan) dalam tempoh beberapa tahun. Itu yang amat mengagumkan saya. Saya kagum dengan kekuatan yang ada pada karakternya.

MIX fm (Dilly): Adakah Datuk Seri keluar bersiar-siar seperti kami?

Saya pernah mencubanya sekali tetapi Bukit Aman tidak membenarkannya. Saya perlu diiringi oleh pasukan keselamatan. Bagaimanapun saya beritahu mereka, kalau boleh mereka tidak terlalu bertegas dan bersikap agak lembut iaitu sesuai dengan tugas mereka sebagai polis.

MIX fm (JD): Sekiranya Datuk Seri mahu menonton wayang mereka perlu iring Datuk Seri?

Ya , sudah tentu (ketawa).

MIX fm (JD): Bagaimana pula dengan filem?

Saya minat filem-filem yang mampu menyentuh emosi. Maksud saya sama ada aktor mahu pun aktres yang berlakon mampu menghayati sepenuhnya watak yang dibawa.

MIX fm (JD): Apa pandangan Datuk Seri tentang muzik seperti ini. (memainkan muzik moden)

Anak saya (Nur Ashman) hebat dalam menggabungkan muzik. Di dalam biliknya, terdapat sistem yang membolehkan dia menggabungkan muzik. Pernah saya luangkan masa selama sejam dan saya dapati pelbagai bentuk bunyi muzik yang keluar. Saya bertanyakan kepadanya apa jenis ini. Saya tidak faham. Apabila keadaan itu berlaku, saya teringat Allahyarham ayah saya, Tun Abdul Razak Hussein juga tidak pernah faham jenis muzik yang saya dengar dan ini yang berlaku pada saya sekarang.

MIX fm (Dilly): Kami difahamkan lagu yang Datuk Seri minat ialah Save The Last Dance For Me nyanyian Ben E. King? Mengapa?

Sebenarnya saya boleh menyanyikan beberapa buah lagi di hadapan satu kumpulan yang kecil tetapi bukan untuk di hadapan umum. Kalau di hadapan umum akan timbul masalah. Kesemua lagu ini mudah saya bawakan.

(Dalam pertandingan Battle of the Sexes yang menawarkan hadiah wang tunai RM150, Perdana Menteri berjaya mengalahkan Paulin apabila beliau menjawab dengan tepat kumpulan band wanita dianggotai oleh Belinda Carlisie iaitu the Go Go’s.

Perdana Menteri kemudian bermurah hati menyerahkan wang kemenangannya sebanyak RM150 kepada Paulin).

MIX fm (JD): Baru-baru ini Datuk Seri telah hadir dalam konsert Suara Kami. Apa pandangan Datuk Seri?

Ia sungguh menarik. Saya rasa begitu teruja. Saya sepatutnya hanya berada bawah pentas namun penonton mula bertepuk tangan dan melambai kepada saya, lalu saya dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah dijemput naik ke pentas dan kemudian telah diperkenalkan secara formal. Ini sesuatu yang hebat dan menakjubkan.

MIX fm (JD): Selain menakjubkan adakah konsert itu kelihatan ‘sempoi’ ?

Ini merupakan perkataan baru bagi saya. Seseorang telah tweet kepada saya dan menggunakan perkataan sempoi dan kemudian saya menyemaknya dan saya faham makna perkataan sempoi.

MIX fm (JD): Apa kata-kata terakhir Datuk Seri untuk pendengar radio MIX fm ?

(Pengalaman ini) Hebat dan menarik, juga menjadi tugas saya untuk memastikan masa depan yang cerah bagi generasi muda di Malaysia.

Sementara itu di konti Era FM Perdana Menteri sempat ditemu bual oleh Aznil.

Era FM (Aznil): Tidakkah Datuk Seri merasa penat apabila Datuk Seri berada di banyak tempat dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri?

Kadang-kadang rasa penat juga tetapi saya perlu melakukan yang terbaik untuk negara. Inilah peluang saya. Rakyat telah memberi amanah dan saya menggalas amanah saya dan saya cuba lakukannya sedaya upaya.

Era FM (Aznil): Apa yang Datuk Seri amalkan untuk memastikan Datuk Seri sentiasa cergas dan sihat?

Kena makan pil sedikit tetapi dalam masa sama saya akan melakukan senaman tiga ke empat kali seminggu. Cara ini memberi tenaga kepada saya.

Era FM (Aznil): Untuk sekian kalinya apakah pesanan Datuk Seri kepada pendengar-pendengar Era FM?

Terus lakukan yang terbaik kerana sebagai kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membuat transformasi yang besar kepada negara kita semata-mata untuk generasi muda hari ini.

Sumber : Utusan

Leave a Reply