News_archive

PM Bersyukur Perhimpunan Haram Tidak Bawa Kesan Serius

By Saturday July 9th, 2011 No Comments

KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) — Perdana Menteri melahirkan rasa syukur perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara Sabtu tidak berakhir dengan kesan serius kepada rakyat dan juga harta benda.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau juga bersyukur kerana sebahagian besar rakyat khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang tidak menyertai perhimpunan haram itu, membuktikan mereka tidak menyokong demonstrasi jalanan.

“Mereka (yang tidak menyertai perhimpunan haram) merupakan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, dan mereka juga telah terima nasihat yang dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor dan juga kerajaan.

“Saya ingin ucap tahniah kepada pasukan keselamatan khususnya polis yang telah bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu dengan sebaik-baiknya dan saya berharap apa yang telah berlaku hari ini dijadikan iktibar kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud.

Perdana Menteri berkata kerajaan cuba mengelakkan kejadian sedemikian yang jelas menyusahkan dan mengganggu ketenteraman awam khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur daripada berlaku.

“Kita tawarkan sebuah stadium untuk adakan perhimpunan itu tapi malangnya saya amat kesal mereka telah tolak tawaran itu.

“Ini jelas menunjukkan niat dan tujuan mereka ialah untuk mendapatkan publisiti yang seluas-luasnya, sebab itulah mereka nak berarak juga di tengah-tengah bandar kerana mereka nak beri gambaran bahawa Malaysia tidak ada kestabilan politik dan mereka eksploit isu ini sebanyak mungkin,” katanya.

Beliau berkata sekiranya apa yang dituntut adalah untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, maka ia tidak berbeza sama sekali dengan kehendak kerajaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan sedia mendengar serta mempertimbangkan tuntutan munasabah pihak berkenaan namun tidak dengan cara demonstrasi jalanan.

Beliau menegaskan kerajaan sendiri sekiranya mahu mengadakan demonstrasi jalanan dengan senang dapat menghimpunkan tiga juta anggota Umno, namun apa akan jadi kepada negara sekiranya saban hari ada demonstrasi jalanan.

“Kalau Bersih boleh buat, kerajaan boleh buat, Umno boleh buat, pihak lain pun boleh buat, jadi di mana akan kesudahannya cara seperti ini? Pada akhirnya timbul keadaan huru-hara, merosakkan ekonomi dan keyakinan orang pada negara kita.

“Apakah ini yang kita kehendaki atau kita nak pertahankan apa yang kita telah warisi dan nikmati keadaan aman di mana kita boleh lakukan proses transformasi negara dengan baik?” soal beliau.

Ditanya kemungkinan akan ada lagi perhimpunan haram seperti itu pada masa akan datang, Najib berkata rakyat majoriti yang tidak mahu perkara seumpamanya berlaku perlu menyuarakan kehendak mereka.

“Jangan kita jadi ‘silent majority’ (majoriti pasif). Kita suarakan, kita buat bantahan dengan pelbagai cara untuk menunjukkan majoriti besar tidak boleh terima cara demokrasi jalanan ini sama sekali,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply