News_archive

PM beri jaminan janji BN pada pilihan raya Batang Air ditunaikan

By Wednesday June 17th, 2009 No Comments

LUBOK ANTU 18 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan segala projek yang dijanjikan kerajaan untuk rakyat di kawasan ini pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada April lalu akan ditunaikan.

Menurut Perdana Menteri, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan sebanyak RM75.13 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek di daerah itu dan kini ia dalam proses pembinaan.

Beliau berkata, antara projek itu ialah penurapan jalan raya Lubok Antu-Bulo yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun ini manakala sejumlah RM3 juta lagi pada tahun depan.

“Kita juga akan melakukan projek membaik pulih rumah-rumah panjang di Lubok Antu di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membabitkan jumlah 233 unit rumah panjang dengan perbelanjaan sebanyak RM3.4 juta.

“Kita juga akan menambah kemudahan-kemudahan lain untuk rakyat di sini seperti kemudahan pelancongan dan Kompleks Polis Daerah Lubok Antu sebanyak RM58 juta manakala Kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (CIQ) Lubok Antu, pejabat daerah Lubok Antu serta Engkilili masing-masing RM1.83 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai, Naga San di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas.

Najib berkata, kerajaan turut melaksanakan dua projek pembinaan jalan raya yang menelan kos sebanyak RM60 juta di kawasan Batang Air bagaimanapun beliau tidak menyebut secara spesifik jalan yang mahu dibina itu.

Selain itu katanya, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM630 juta bagi menjayakan Lubok Antu sebagai Zon Industri Agrikultur umpamanya dalam penternakan ikan.

Jelasnya, bagi menjamin pasaran untuk industri itu, kerajaan bercadang membekalkan ternakan ikan air tawar tersebut ke sekolah-sekolah di seluruh negeri ini.

“Kita juga akan menambah lagi kemudahan dan memberi bantuan kepada rumah panjang di seluruh Sarawak yang kesemuanya berjumlah 1,800 buah secara berperingkat-peringkat.

“Selain mahu mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan masyarakat di Batang Air, kedatangan saya ke sini juga adalah untuk memberi jaminan bahawa semua janji Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air akan kita tunaikan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply