News_archive

Pilihan Raya Serentak: Najib Tidak Beri Petunjuk

By Friday January 21st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberi sebarang petunjuk sama ada beliau akan mengadakan pilihan umum ke-13 serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mempertimbangkan sebarang kemungkinan.

“Boleh…tunggu dan lihat,” katanya ketika ditanya oleh pemberita sama ada Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi dua pilihan raya secara serentak.

“Dalam pilihan raya, sebarang kemungkinan boleh terjadi,” kata Najib, yang juga Pengerusi BN, selepas melancarkan Dana Belia 1Malaysia di sini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Talib Mahmud dilaporkan sebagai berkata beliau akan berbincang dengan Najib dengan kemungkinan mengadakan pilihan raya Parlimen dan Negeri secara serentak.

Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Najib berkata pilihan raya kecil bagi kerusi itu merupakan sesuatu yang tidak diduga sama sekali dan tidak dapat dielakkan.

Katanya BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu pada tarikh yang akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penyandang kerusi DUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, meninggal dunia malam tadi akibat serangan jantung sejak dimasukkan ke Hospital Pakar Putra, Melaka, Sabtu lepas.

Ditanya mengenai kemunculan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Najib berkata kehadiran parti politik baru itu memperlihatkan demokrasi di Malaysia masih aktif dan segar.

“Sesiapa boleh tubuh parti baru dan asalkan mereka bergerak mengikut undang-undang negara, mereka boleh bertanding dan sebagainya, tiada masalah,” katanya.

Tentang kehadiran Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas pada upacara pelancaran parti baru itu, Najib berkata ianya tidak bermasalah.

Najib juga menyampaikan ucapan tahniah kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia kerana berjaya menyelamatkan 23 krew kapal dan merampas semula kapal tangki kimia Malaysia yang dirampas oleh lanun d perairan Teluk Aden, Somalia, Khamis.

Katanya beliau berbangga dengan kecekapan dan keberanian pasukan Paskal menyelamatkan kapal yang disewa dan memberkas tujuh orang lanun.

Najib berkata kerajaan kini sedang meneliti dari aspek perundangan antarabangsa untuk tindakan sewajarnya termasuk membawa lanun-lanun tersebut ke Malaysia untuk diadili.

Sumber : Bernama

Leave a Reply