Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Pikat pelabur OIC sertai ETP - Najib Razak
News_archive

Pikat pelabur OIC sertai ETP

By Friday May 11th, 2012 No Comments

MALAYSIA mempelawa pelabur dari negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk menimbangkan projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai pelaburan selamat bagi lebihan tunai masing-masing, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, program itu membabitkan pelaburan yang besar di dalam beberapa sektor utama seperti teknologi canggih yang termasuk teknologi hijau dan diperbaharui, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan serta hospitaliti.

“Kebanyakan pembiayaan diperlukan bagi ETP akan diperoleh daripada sumber domestik, tetapi kami juga menimbangkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi melengkapi usaha ini,” katanya di dalam ucaptama di Forum Pelaburan Kumpulan Malaysia-Bank Pembangunan Islam (IDB) di Kuala Lumpur, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia adalah gerbang bagi negara pengeluar minyak Timur Tengah untuk memasuki rantau Asia, seterusnya melabur di kawasan Asia baru ini.

Sebagai contoh, katanya, Komuniti Ekonomi Asean yang akan dilaksanakan pada 2015 bakal menyaksikan Malaysia menjadi gerbang kepada pasaran serantau bagi hampir 600 juta penduduk dengan tarif sifar bagi 99.4 peratus daripada produk yang boleh didagangkan.

Perdana Menteri berkata, perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani Asean dan ekonomi utama Asia bermakna pemasaran keutamaan kini mencecah 3.2 bilion pengguna yang termasuk penduduk India, Korea, Australia dan New Zealand.

“Ia adalah pasaran di mana taraf kehidupan sedang meningkat dan perbelanjaan barangan pengguna sedang meningkat dengan tetap.

“Pemerhatian ini menjurus kepada satu perkara, iaitu perubahan sistematik dari barat ke timur di dalam pengagihan kekayaan ekonomi dan kuasa di seluruh dunia,” katanya.

Sambil Timur Tengah kekal penting sebagai rizab minyak yang besar dan terus menampung pasaran tradisi di barat, Najib berkata ia perlu juga bertindak ke atas keperluan Asia yang baru yang berkembang dan lebih berkeyakinan.

“Berbilion dolar dibelanjakan bagi memodenkan ekonomi di bahagian ini dengan jutaan rakyatnya keluar dari kemiskinan dan menjadi masyarakat kelas pertengahan, di mana perbelanjaan pengguna dijangka meningkat,” katanya.

Katanya, kejayaan ekonomi jangka panjang mana-mana negara bergantung kepada keupayaannya untuk melabur sumber lebihannya secara bijak.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply