Official Addresses

Perutusan Tahun Baru 2010 YAB Perdana Menteri

By Friday January 1st, 2010 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, marilah bersama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berpeluang untuk menyambut ketibaan tahun baru dalam suasana negara yang aman damai.

2. Sementelahan menjengah ke ambang baru, elok juga kita mengimbas kembali tempoh 2009 yang bakal ditinggalkan dalam membentuk asas kepada masa hadapan yang akan direntasi.

3. Sepertimana kita maklum, tahun 2009 merupakan detik waktu yang diselubungi oleh cabaran cukup luar biasa. Kita menghadapi krisis pemanasan global yang telah mengancam kelestarian dan kesejahteraan planet ini. Tidak ketinggalan, kita juga terpaksa menongkah krisis kewangan sejagat yang julung kali seumpamanya menghentam di luar jangka dan skala sehingga memporak peranda keluarga serta perniagaan di setiap penjuru dunia.

4. Walau apapun dugaan dan rintangan, dengan izin-Nya jua, kita berupaya melalui semua itu bukan dengan duduk bersimpuh, akan tetapi, tegak berdiri, bertindak, membuat keputusan-keputusan yang sukar sekaligus melaksanakan pelbagai dasar secara berhemah. Ini semua, tidak lain dan tidak bukan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa secara amnya.

5. Misal yang jelas sama ada di peringkat ASEAN, APEC dan baru-baru ini di Copenhagen, Malaysia telah memainkan peranan yang sewajarnya dalam mengenengahkan diri diantara pelaku-pelaku utama kerjasama global untuk mencapai kemajuan di lapangan dagang, keselamatan juga perubahan iklim.

6. Di sudut ekonomi, kendatipun kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kemelesetan, namun, petanda-petanda memperlihatkan bahawa Malaysia sedang bergerak keluar dari kemuraman awan mendung dan mencatatkan pertumbuhan KDNK positif bermula suku keempat tahun 2009.

7. Tambahan pula, rekod dan catatan lalu memberi keyakinan bahawa Malaysia bukan sahaja akan kembali pulih dari kemelut yang dialami, malah berpotensi muncul sebagai ekonomi yang lebih kuat dan makmur pasca krisis yang didepani.

8. Hakikatnya, kita telah membuktikan hal ini di celah-celah merudumnya harga komoditi sekitar 80an, bahkan ia telah dijadikan landasan untuk mentransformasi iktisad negara dari sebuah ekonomi pertanian kepada ekonomi perindustrian.

9. Begitu juga ditengah-tengah ributnya kewangan Asia yang menyerang akhir tahun 90an, Malaysia telah bolos dengan formula tersendiri, yang kini, telah menjadi bahan kajian banyak pihak di dunia. Kita juga telah menggubal dan melaksanakan satu “roadmap” ke arah membentuk sektor perbankan dan kewangan negara yang lebih kukuh. Hasilnya, dewasa ini, kita terselamat di kala banyak negara sedang dirempuh bencana ekonomi akibat kegagagalan sistem perbankan dan kewangan mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Di noktah ini, negara dan rakyat Malaysia sedang berada pada suatu persimpangan sejarah. Pilihan yang terhampar kepada kita ialah antara kemakmuran berterusan bagi negara serta taraf hidup lebih tinggi untuk rakyat atau, sebaliknya, yakni, negara statik dengan taraf hidup rakyat yang semakin merosot.

11. Oleh yang demikian, jika kita ingin berada di hadapan keluk kemakmuran, maka kita harus berani dan tegas bagi melaksanakan perubahan dan pembaharuan. Pengorbanan pula perlu untuk meningkatkan produktiviti, daya saing serta menguasai kemahiran baru.

12. Kesan darurat ekonomi global yang melanda menyebabkan kesegeraan utama Kerajaan adalah untuk mengembalikan negara ke landasan pertumbuhan ekonomi yang optimum. Ini telahpun kita lakukan melalui pengambilan langkah-langkah konkrit seperti suntikan stimulus berjumlah RM67 bilion, pembentangan bajet tambahan, liberalisasi sektor terpilih, mencipta pekerjaan, menyediakan perumahan yang selesa, menambahbaik khidmat pengangkutan awam dan penstrukturan semula subsidi.

13. Hasilnya nanti, kita berharap agar Malaysia bangkit lebih ampuh dengan pertumbuhan positif dalam tahun 2010 dan pengurangan kadar defisit fiskal kerajaan dari 7.4 peratus kepada 5.6 peratus. Sungguhpun begitu, matlamat jangka panjang kita bukan semata-mata untuk pulih dari krisis tetapi yang lebih penting mengambil peluang ini untuk meletakkan asas-asas kukuh bagi kemakmuran masa depan negara dengan pembaharuan yang berterusan.

14. Pokok pangkalnya, adalah menjadi suatu imperatif kepada kemakmuran masa depan untuk Malaysia meningkat dalam rantaian nilai ekonomi global. Dalam kata lain, kita tidak mampu berterusan menjadi pusat pelaburan untuk industri pembuatan berteknologi rendah dan bertubikan buruh dengan kemahiran minima. Merintis jalan ke hadapan bererti mewujudkan ekonomi yang berteraskan pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah yang tinggi.

15. Justeru, dalam tahun 2010 kerajaan akan membentangkan dua inisiatif penting. Pertamanya, inisiatif jangka panjang melalui satu model baru ekonomi yang akan menjadi panduan halatuju pembangunan negara menuju 2020 serta tahun-tahun berikutnya. Keduanya pula, satu inisiatif yang bersifat jangka pendek dan sederhana dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

16. Sememangnya, kejayaan kedua-dua inisiatif ini memerlukan peranan proaktif setiap rakyat Malaysia. Adalah benar, dalam mendepani saat-saat sukar cabaran ekonomi, kita telah bersama meraih kejayaan bukanlah secara kebetulan bahkan dengan membuat pilihan yang bijaksana.

17. Saya amat percaya bahawa kunci kepada kejayaan masa depan bukanlah semata-mata kekayaan sumber alam akan tetapi yang lebih utama adalah modal insan yang berilmu dihiasi semangat keusahawanan waja dalam menjana kekayaan baru untuk tanahair.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

18. Malaysia ialah sebuah negara yang berbilang kaum. Kita juga terbahagi dan dijarak kerana kelainan bahasa, agama dan budaya. Malah, pihak penjajah penuh sinis meramalkan bahawa negara ini tidak mungkin stabil dan tidak mungkin mencapai matlamatnya. Sebaliknya, para pendahulu kita telah merumus formula perpaduan yang bitara lagi berkesan sehingga meletakkan kita di tempatnya pada hari ini.

19. Semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera kerana pemimpin-pemimpin kaum yang berjuang untuk kemerdekaan dan menggubal dasar asas negara adalah orang bersifat sederhana serta tulus ingin melihat semua pihak mendapat tempat sewajarnya dalam negara bertuah ini. Mereka amat rasional dalam membuat keputusan. Mereka juga menolak tekanan daripada pihak yang keterlaluan dan memilih untuk melayan hak semua kaum secara adil.

20. Dari itu, pada hemah saya kemajmukan dan kepelbagaian yang diwarisi dan wujud di negara ini adalah satu nikmat dan satu rahmat. Lantaran, seawal pelantikan selaku Perdana Menteri, pentadbiran saya meneruskan gagasan besar para pendahulu dengan prakarsa konsep 1Malaysia yang diutamakan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

21. Kini, tampaknya laungan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” telah berkumandang di sana sini. Walaupun ada pihak yang cuba memesong dan mengelirukan inisiatif murni ini, saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia mula memahami falsafah yang melatari konsep 1Malaysia. Kekuatan kita terbina di atas nama meraikan perbedaan dan kemajmukan tidak kira tua, muda, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban ataupun etnik lain. Semuanya, sejak dulu, kini dan selamanya akan hidup rukun sebagai 1Malaysia. Untuk memastikan matlamat ini terlaksana maka peranan kerajaan haruslah ditransformasi dari penyedia mutlak kepada pemudahcara terbaik.

22. Mahu tidak mahu, masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengenal batas dan latar belakangnya. Sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah mustahak bagi menentukan kejayaan. Tidak ada rakyat Malaysia yang tidak penting atau terpinggir. Kerajaan mengalu-alukan setiap bakat yang ada. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk di bawah langit Malaysia diambil faedah untuk memakmurkan negara lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

23. Jadinya, bagi memastikan arah tuju tentang apakah yang ingin dicapai oleh kerajaan, pentadbiran saya telah menggubal enam bidang keberhasilan utama atau NKRA meliputi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambahbaik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana. Ini semua, adalah satu pernyataan hasrat kebertanggungjawaban kerajaan dan di bawah setiap matlamat NKRA dibentuk pula indeks-indeks pencapaian utama atau KPI agar rakyat dapat mengukur sejauh mana keberkesanannya.

24. Di sini ingin saya menyatakan bahawa NKRA dan KPI yang ada bukanlah sesuatu yang “exhaustive” atau sudah lengkap. Kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan idea dan pendapat rakyat. Saya yakin bahawa dengan wujudnya sintesis di antara kerajaan dan rakyat, kita akan mendapat idea-idea yang tersaring untuk menambahbaik apa yang ada.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

25. Jika diimbau, ketika mengambil tampuk pentadbiran negara kira-kira sembilan bulan yang lalu, saya telah mengajak rakyat sekaliannya bersama meniti perjalanan besar membawa Malaysia menuju jaya. Syukur kepada Allah SWT, dalam tempoh itu kita telah mencapai banyak kejayaan bersama. Sekalipun yang demikian, rehlah ini masih panjang. Masih banyak denai yang akan diredahi.

26. Kita perlu bergerak ke hadapan, biarlah tawarikh menjadi pengajaran yang berguna dan panduan yang bermakna bukannya penjara yang menyekat kita dari melihat kemungkinan.

27. Apa yang membumbungkan semangat ini adalah kerana, saya percaya, bahawa saya tidak keseorangan. Saya tahu rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi. Kita akan bersama penuh optimistik menjulang nama Malaysia.

28. Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru. Semoga tahun 2010 akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah untuk Malaysia dan kita semua. Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply