Official Addresses

Perutusan Maulidur Rasul 1435H/2014M YAB Perdana Menteri

By Monday January 13th, 2014 No Comments

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian itu hanya untuk Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Rasulullah SAW, juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda sekaliannya. Maka pada detik 12 Rabiul Awal 1435 Hijriyah ini, saya merafakkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT, dapat sekali lagi kita meraikan Sambutan Maulidur Rasul ini.

2. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Kahfi ayat 6 yang bermaksud:

“Maka (apakah) barangkali kamu (wahai Muhammad), akan membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada perbicaraan (Al-Quran) ini.”

3. Di sini, al-Quran dengan indah telah merakamkan betapa kerisauan, kesungguhan dan gelora kasih sayang baginda untuk melihat setiap umat manusia ini dapat bernaung di bawah rahmat keimanan dan agama Islam yang suci ini. Makanya, rahmat Iman dan Islam yang diperjuangkan Rasulullah SAW ini, perlulah diteruskan dan disebarkan.

4. Justeru, sebagai sebuah negara Islam yang sememangnya meletakkan Maqasid Syariah sebagai paksi pentadbiran negara, kita komited untuk menjadikan negara Malaysia ini sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dan menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan.

5. Kejayaan Malaysia dalam usaha mengembangkan Islam dan mengamalkan demokrasi telah mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia, termasuklah daripada Pemimpin Turki dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini.

6. Beriltizamkan Sirah Rasulullah SAW, Kerajaan akan terus komited mempertahankan kesucian Agama Islam dari dicemari dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu. Saya menyeru kepada rakyat, keharmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama kita bina bersama harus dikekalkan. Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di Negara kita.

7. Sambutan Maulidurrasul pada tahun ini adalah bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”. Hakikatnya, ‘wasatiyyah’ berpaksikan keadilan sosial, keunggulan atau kecemerlangan dan keseimbangan serta kesederhanaan. ‘Wasatiyyah’ bukanlah bererti mundur, ambil mudah dan pendekatan ekstrem yang boleh menggugat kestabilan politik, sosial dan ekonomi kepada sesebuah Negara. Justeru ‘wasatiyyah’ adalah tonggak kepada segalanya, yang merupakan penentu kemakmuran, keharmonian dan kesatuan sesebuah bangsa atau ummah.

8. Semoga sambutan memperingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW ini dapat menjadi pemangkin kepada penyatuan ummah dalam membangunkan negara yang tercinta ini.

Leave a Reply