News_archive

Peruntukan RM350,000 Untuk Baik Pulih Nat Balai Baru Beseri

By Saturday July 23rd, 2011 No Comments

KANGAR, 23 Julai (Bernama) — Kerajaan memperuntukkan RM350,000 untuk membaik pulih pasar sehari, atau lebih dikenali sebagai nat, Balai Baru, Beseri yang dibina sejak 1964, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri mengumumkan mengenai peruntukan itu pada program Jalinan Mesra Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan 2020 di sini.

Sebaik tiba di Perlis, beliau mengadakan tinjauan mesra ke pasar itu bersama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Najib berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai Felda, pihaknya juga secara dasarnya bersetuju dengan kerajaan negeri Perlis untuk mendapatkan 1,200 hektar tanah milik sayap pelaburan Felda, Felda Global Ventures Sdn Bhd di Chuping, Perlis untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar baru yang dikenali sebagai ‘Chuping Valley’.

Beliau berkata kerajaan negeri Perlis perlu mengadakan perbincangan dengan syarikat Felda Global Ventures mengenai cadangan itu.

Najib turut dibawa melihat kawasan itu semasa dalam perjalanannya ke nat Balai Baru.

Mengenai ulang tahun ke-58 kelahiran beliau hari ini, Najib berkata sebagai Perdana Menteri, beliau tetap bekerja tanpa mengira hari, namun pada hari ini, beliau mendapat kelebihan dengan ‘pulut kuning dan kek’ menyambut kedatangan beliau pada pelbagai acara dalam lawatannya ke Perlis.

Sumber : Bernama

Leave a Reply